Tema dan Subtema Novel Islami
Adakah isi kandungan novel Islami berbeza daripada kandungan novel-novel bukan Islami? Apakah novel Islami hanya boleh bercerita tentang tema-tema ketuhanan?
Persoalan ini dapat dijawab dengan mengemukakan persoalan apakah tema-tema, perkara dan isu-isu yang menjadi bahan cerita dalam surah Yusuf?
Nabi Yusuf, ayahnya Nabi Yaakub, dan abangnya Nabi Bunyamin, serta Raja Mesir adalah watak-watak yang mewakili tema-tema ketuhanan dan kebaikan.
Abang-abang Nabi Yusuf, Siti Zulaikha, dan suaminya Menteri Aziz adalah watak-watak yang mewakili tema-tema kejahatan.
Apakah jenis-jenis kejahatan yang dijadikan bahan cerita dalam surah Yusuf?
Anak-anak durhaka.
Cemburu adik-beradik.
Pembunuhan adik beradik.
Cinta terlarang.
Isteri curang.
Suami dayus.
Pendustaan, tipu helah.
Dalam novel Islami, tema dan watak-watak jahat berfungsi sebagai bukti-bukti kepada sifat-sifat baik yang ada pada watak-watak baik. Nabi Yusuf terbukti seorang yang baik disebabkan terdapatnya watak-watak jahat seperti abang-abangnya, Siti Zulaikha dan suaminya, yang melakukan pelbagai kejahatan ke atas dirinya.
Nabi Yaakub terbukti baik disebabkan terdapatnya watak anak-anaknya yang jahat, yang sanggup membunuh adik bongsu mereka, Nabi Yusuf, tetapi Nabi Yaakub bersabar sehingga matanya buta disebabkan selalu menangisi perihal anak-anaknya.
Menteri Aziz seorang yang baik kerana mengambil Nabi Yusuf dari dalam telaga buruk lalu dijadikan anak angkat, tetapi dia kemudian terbukti jahat disebabkan walaupun dia sudah melihat sendiri bukti kejahatan Siti Zulaikha, tetapi bagi menjaga maruahnya sendiri sebagai suami, di hadapan raja dia memfitnah Nabi Yusuf sehingga Nabi Yusuf dipenjarakan.
Analisis ini membuktikan, novel Islami menggunakan tema-tema kebaikan dan kejahatan secara serentak bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home