Hukum Karma dalam Novel Islami
Hukum Karma, yakni yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat, di dunia ini, adalah ajaran Hindu. Cerita Si Tanggang adalah contoh klasik. Kepada yang kurang kritikal, Hukum Karma Hindu ini diyakini adalah serupa dengan hukum Islam. Malah ramai orang yakin Hukum Karma adalah hukum yang memang wujud dan ia adalah hukum semula jadi ciptaan Allah.
Tema Hukum Karma popular dalam cerita-cerita, baik cerita-cerita yang diterbitkan dalam bentuk buku, bangsawan, drama TV, filem dan lain-lain. Malah, dalam cerita, jikalau watak jahat tidak menerima hukuman jahat, ia dianggap tidak cocok dengan ajaran Islam.
Dalam surah Yusuf terdapat banyak watak jahat, namun tidak seorang pun daripada watak-watak jahat itu menerima hukuman atas kejahatan yang mereka lakukan. Malah Nabi Yusuf sendiri sebagai watak yang baik ditimpa banyak penderitaan.
Kisah Nabi Yusuf membayangkan bahawa dalam novel Islami, kejahatan tidak dianjurkan supaya dibayar dengan kejahatan juga. Malah dianjurkan supaya watak utama yang ideal itu harus mengalami pelbagai penderitaan yang berat.
Hukum Karma berbeza daripada ajaran Islam kerana bagi penganut Hindu, Hukum Karma itu hukum yang berlaku di atas dunia ini. Maka setiap musibah yang menimpa seseorang di dunia ini diyakini adalah balasan kepada kejahatan yang telah dilakukannya.
Mengikut fahaman Hindu, musibah adalah hukuman daripada Sang Karma disebabkan seseorang itu melakukan dosa.
Hukum Karma tidak serasi dengan konsep 'dugaan' dalam Islam. Dalam Islam salah satu fungsi musibah adalah sebagai dugaan, makanya orang-orang yang baik, malah nabi-nabi sekalipun ditimpa musibah. Tidak mungkin penderitaan yang dialami oleh nabi-nabi dan orang-orang yang baik di mata Tuhan adalah hukuman dari Sang Karma.
Kita menolak logik Hukum Karma, dan kita menganut konsep 'dugaan', makanya kita dapat menerima realiti yang menunjukkan banyaknya orang-orang jahat yang seolah-olah tidak menerima sebarang hukuman di dunia ini, manakala kita menyaksikan banyaknya orang-orang yang baik seolah-olah sedang menjalani hukuman demi hukuman daripada Tuhan apabila mereka ditimpa malang yang berat-berat.
Apakah yang berlaku ke atas watak-watak jahat dalam surah Yusuf? Mereka semuanya sedar akan dosa yang telah mereka lakukan dan mereka insaf. Di atas segala apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Yusuf, tidak seorang pun yang tidak dimaafkan olehnya. Ini membayangkan dalam novel Islami tidak ada unsur balas dendam oleh watak utama.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home