Penulis Menjadi Jurulatih
Dato Dr. Fadhilah Kamsah adalah seorang penceramah atau 'speaker' dalam bidang pembangunan diri. Begitu juga Dr. Danial Zainal Abidin. Kerja mereka bercakap. Puan Ainon Mohd. adalah seorang jurulatih atau 'trainer' bidang penulisan. Seperti seorang 'coach' bola, kerja Puan Ainon bukan bercakap tetapi melatih.
Baik penceramah mahupun jurulatih, sebaik-baiknya masing-masing mempunyai buku berkenaan bidangnya, sebab:
Buku saudara adalah satu lagi sumber pendapatan bagi saudara. Tanpa buku saudara bergantung semata-mata kepada yuran.
Buku saudara adalah cara saudara mengiklankan kepakaran saudara. Antara orang-orang yang membaca buku saudara mungkin terdiri daripada individu-individu yang terlibat dengan tugas-tugas menganjurkan ceramah ataupun latihan di tempat kerja mereka.
Buku saudara dapat dijadikan salah satu daripada bahan yang dibekalkan kepada para peserta seminar ataupun latihan.
Buku saudara membolehkan saudara menaikkan yuran yang saudara kenakan disebabkan dengan membaca andungan buku itu orang dapat menilai taraf ilmu dan kepakaran saudara.
Apakah perbezaan antara penceramah dan jurulatih?
Penceramah bercakap di depan ramai khalayak. Jurulatih bercakap di depan 30 ataupun 40 orang khalayak sahaja.
Penceramah bercakap menggunakan mikrofon disebabkan dia bercakap dari atas pentas di dalam dewan. Jurulatih menggunakan suara biasa, seperti guru-guru, disebabkan dia menjalankan latihannya dalam bilik latihan yang kecil.
Penceramah boleh bercakap dalam radio dan televisyen, kaset dan CD. Jurulatih tidak mungkin dapat menjalankan sesi latihan tanpa pelatih-pelatihnya berada di depannya.
Ada orang masih keliru berkenaan siapa penceramah dan siapa jurulatih. Akibatnya, apabila mereka memerlukan jurulatih, mereka mungkin mencari penceramah. Kemudian mereka berkata, “Kita sudah jemput Dr. Si Polan, tetapi tidak ada perubahan, staf kita masih tak pandai menjadi jurujual yang agresif!”
Apakah perkara utama yang membezakan penceramah dan jurulatih?
Objektif penceramah menyampaikan ceramahnya adalah memberi kesedaran dann kefahaman, yakni memberitahu dan menerangkan berkenaan sesuatu isu. Sebagai contoh, seorang penceramah bercakap tentang isu 'malu tidak kena tempatnya'. Jadi, mereka yang mendengar ceramahnya faham isu itu. Tetapi bukan bermakna apabila kita sudah faham maka kita dapat melakukannya.
Objektif jurulatih menjalankan sesi latihannya adalah memindahkan kemahiran yang beliau miliki kepada pelatih-pelatihnya. Sebagai contoh seorang jurulatih melatih para peserta bengkelnya teknik-teknik bagaimana mereka dapat mengawal rasa apabila membuat panggilan telefon pertama bagi mendapatkan tarikh temujanji dengan bakal pelanggan yang belum dikenali. Di sini, selepas dilatih, mereka bukan hanya sekadar faham, mereka dapat menggunakan teknik-teknik itu.
2 Komen :
Saya mencari beberap orang teman dibidang peminatan perihal "how to be a good trainer", akhirnya tulisan anda ketemu juga. Balasan kali ini hanyalah ingin menyatakan rasa sukacita saya berkenaan dengan upaya saya mencari teman-teman yang memiliki peminatan sama. Walaupun saya bukanlah "scholars" ataupun memiliki jenjang pendidikan khusus dibidang itu (training and course design) tapi saya sebagai "practitioner" sangat ingin bertukar pandangan tentang hal itu.
Bahasanya orang malaysia ini!!!
Post a Comment
<< Home