Pencetak Merompak Penerbit
Salah satu risiko apabila buku saudara meletup-letup dalam pasaran adalah ia dicetak rompak. Dalam sejarah industri buku negara kita, pertama, buku yang paling banyak menjadi mangsa cetak rompak adalah buku Shahnon Ahmad “SHIT” dan kedua buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri.”
“SHIT” dirompak dengan bantuan pencetak buku dan dijual di pasaran terbuka, manakala “50 DALIL” dicetak menggunakan mesin fotokopi dan dijual dalam pasar gelap.
Buku-buku yang dicetak rompak adalah buku-buku yang permintaannya amat tinggi. Para pencetak buku memainkan peranan penting membolehkan perkara ini berlaku. Lebih penting lagi adalah terdapatnya pengedar, kedai buku dan individu-individu yang mahu menjual buku-buku cetak rompak itu.
Pada masa ini buku-buku cetak rompak yang paling banyak terjual dalam pasaran tempatan adalah buku-buku Cina dari Hong Kong dan Taiwan yang dicetak rompak di negara ini dan dijual secara terbuka dengan harga yang amat berpatutan berbanding dengan harga buku original yang diimpot.
Bagi merahsiakan kelarisan sesuatu buku, sesetengah penerbit sengaja tidak melancarkan buku-bukunya disebabkan mereka tidak mahu para perompak tahu bahawa buku itu laris di pasaran.
Berikut adalah beberapa panduan bagi mengurangkan risiko pencetak buku-buku saudara sendiri daripada mencetak-rompak buku saudara.
Ambil semua filem dan plat daripada penerbit dan simpan sendiri. Jangan benarkan penerbit menyimpan barang-barang itu.
Lantik pencetak yang rekodnya terkenal bersih. Siasat dahulu latar belakang mana-mana pencetak yang hendak saudara lantik.
Lantik pencetak yang hanya membuat kerja-kerja mencetak sahaja. Dia tidak mempunyai syarikat lain. Ingat: Ada pencetak yang mempunyai anak syarikat membuat filem, anak syarikat penerbitan, dan juga anak syarikat pengedaran buku. Ini amat berbahaya. Dia dapat diam-diam mencetak buku saudara, dan dia dapat mengedarkan buku saudara!
Barangkali saudara ingin tahu mengapa novel-novel cinta remaja Alaf21 yang laku beratus ribu naskhah itu tidak dicetak rompak. Beginilah penerangannya:
Alaf21 mencetak sendiri novel-novelnya.
Tidak ada pengedar dan pekedai yang berani menjual buku cetak rompak Alaf21 disebabkan Karangkraf mempunyai senapang besar yang dapat diacukan ke kepala mereka. Karangkraf boleh ugut mereka lebih kurang begini, “Kalau kami dapat tahu kamu jual novel kami yang dicetak rompak, kamu takkan dapat bekalan 34 buah akhbar dan majalah kami yang lain!”
Buku-buku Cina dari Taiwan dan Hong Kong dicetak rompak dengan meleluasa di sini disebabkan penerbit asal tidak berupaya menghalang perkara itu daripada berlaku.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home