Friday, September 02, 2005

Nama Artis Popular dalam Buku

Siti Nurhaliza dan Apek adalah artis paling popular sekarang, dalam bidang masing-masing. Maxis menggunakan Siti Nurhaliza bagi mempromosi perkhidmatan telefonnya.

Waheeda, Raihan dan Rabbani juga mempunyai banyak peminat mereka sendiri di kalangan penggemar lagu-lagu nasyid.

Artis-artis popular mempunyai banyak peminat. Mereka juga mempunyai daya pengaruh yang tinggi ke atas peminat-peminat mereka.

Patutkah saudara menggunakan nama-nama artis popular dalam buku saudara? Sebagai contoh saudara mungkin hendak menggunakan mereka sebagai contoh-contoh dalam buku saudara. Ataupun saudara hendak meminta mereka menuliskan kata-kata aluan.

Sesetengah penulis mahukan perdana menteri, menteri, tokoh politik ataupun ketua pengarah jabatan kerajaan pilihan masing-masing bagi menulis kata-kata aluan dalam buku mereka.

Di sebalik keinginan seperti itu adalah keyakinan bahawa buku yang 'di-endorse' oleh personaliti artis ataupun politik akan lebih laku jualannya.

Buku yang baik dan berguna isinya tidak memerlukan tongkat daripada artis-artis dan orang politik. Banyak perkara boleh berlaku kepada artis dan tokoh-tokoh politik, yang membahayakan buku saudara:

1. Artis-artis dan tokoh politik turun naik, datang dan pergi. Kalau buku saudara baru dicetak, masih beribu naskhah tersimpan dalam setor penerbit, belum sempat dijual, tiba-tiba tokoh politik itu jatuh, maka jatuhlah buku saudara itu. Ini yang dialami oleh beberapa penerbit yang menerbitkan buku berkenaan Dr. Mahathir! Demikian juga jikalau artis yang meng-endorse buku saudara itu ditangkap basah, umpamanya.

2. Imej artis itu bukan imej individu yang membaca buku. Jadi artis tidak sesuai meng-endorse buku. Tokoh-tokoh politik bukan imej orang buku, kecuali Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir mempunyai imej orang yang membaca buku.

3. Peminat-peminat artis popular bukan terdiri daripada orang-orang yang membaca buku. Malah orang-orang yang membaca buku tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang terpengaruh oleh tingkah laku artis-artis. Inilah faktor yang menyebabkan gerai yang menjual buku dalam Karnival Sure Heboh tidak laku!

4. Ada risiko apabila saudara mengaitkan buku saudara dengan mana-mana artis disebabkan perkaitan itu boleh menyebabkan kecacatan kepada imej saudara sebagai orang ilmu.

5. Tempoh populariti artis-artis dan tokoh politik adalah amat singkat sedangkan tempoh laku buku saudara hendaknya berpanjangan.

6. Artis dan tokoh politik bukan disukai oleh semua orang. Buku saudara tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kumpulan. Apabila buku saudara di-endorse oleh seseorang artis ataupun tokoh politik, saudara tidak dapat menjual buku saudara kepada mereka membenci artis ataupun tokoh politik itu.

Seperti yang sudah disebutkan, buku yang baik dan berguna isinya tidak memerlukan tongkat artis ataupun orang politik!