Nik Faridah: "Ustaz Aziz"
Ustaz Aziz melangkah memasuki kelas Tahun 6 Bestari.
“Bangun! Assalamualaikum, ustaz, ” ketua kelas memberi salam, diikuti oleh semua pelajar, tanda hormat kepada Ustaz Aziz.
“Waalaikumusalam, semua boleh duduk,” jawab Ustaz Aziz.
“Pagi tadi saya solat subuh di surau, bacaan pak imam surau tadi sungguh bagus. Siapa yang solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.
Hanya separuh yang mengangkat tangan. Ustaz Aziz tersenyum.
“Baiklah, pelajaran kita hari ini pun mengenai solat subuh juga," kata Ustaz Aziz.
"Dalam solat subuh ada bacaan yang berbeza dengan solat lain. Bacaan yang tidak kita baca dalam solat lain, kecuali solat subuh sahaja.” Ustaz Aziz cuba menarik perhatian murid-muridnya mengenai tajuk hari itu.
“Amir?” Ustaz Aziz sengaja mengejutkan Amir dari lamunannya. Amir hanya tersipu-sipu menampakkan giginya.
“Zulkifli, kamu solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.
“Solat, cikgu. Solat dengan ayah saya,” jawab Zulkifli.
“Bacaan apa yang berbeza dengan solat lima waktu yang lain?” tanya Ustaz Aziz lagi.
“Bacaan qunut, cikgu!” jawab Zulkifli.
“Bagus. Bacaan qunut atau doa qunut adalah bacaan yang tidak dibaca pada solat lain,” terang Ustaz Aziz.
“Hari ini saya hendak kamu baca dan hafal doa qunut. Sebelum itu, ada sesiapa yang sudah hafal doa qunut?” tanya Ustaz Aziz.
“Saya, cikgu” Ammar mengangkat tangan.
Ustaz Aziz sedikit mengerutkan dahinya, berfikir, kali ini Ammar bercakap betul ataupun main-main lagi.
“Bagus, cuba kamu baca, Ammar,” suruh Ustaz Aziz.
“Cikgu hendak saya baca doa qunut yang panjang ataupun doa qunut yang pendek sahaja?” tanya Ammar.
Semua mata murid tertumpu pada Ammar. Ustaz Aziz sendiripun agak ragu-ragu sebenarnya.
“Cubalah yang mana yang kamu ingat,” suruh Ustaz Aziz.
“Cikgu cakaplah yang panjang ataupun yang pendek.” Ammar masih dalam keadaan berdiri sambil tangannya melekar sesuatu pada buku di hadapannya.
“Baiklah, kamu cuba doa yang pendek dahulu,” suruh Ustaz Aziz.
“Qunut!” jawab Ammar ringkas.
“Ya, doa qunut, bacalah,” Ustaz Aziz ternanti-nanti.
“Itulah dia doa qunut pendek. QUNUT!” jawab Ammar.
Kelas riuh rendah dengan suara gelak ketawa.
Ustaz Aziz pun tidak terkata, rasa hendak marah dan rasa geli hati bercampur.
Amir mengangkat tangan.
“Cikgu, kalau doa qunut panjang bunyinya, QUNUUUUUT!” katanya.
Kelas 6 Bistari riuh rendah.
Ustaz Aziz tidak dapat menyorokkan giginya lagi.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home