Friday, September 30, 2005

Jangan Lebih 2 Keping

Apabila saudara hendak menerbitkan buku ataupun majalah bacaan kanak-kanak, harganya tidak boleh lebih daripada RM10.00. Jikalau lebih, ibu bapa berasa harga itu amat mahal bagi buku kanak-kanak.

Apabila saudara hendak menerbitkan buku ataupun majalah bagi bacaan remaja, harga jualannya jangan lebih daripada RM15, sebab remaja tidak mempunyai banyak wang. Ini bermakna buku ataupun majalah saudara jangan lebih daripada 150 halaman bercetak.

Jika saudara menerbitkan buku ataupun majalah untuk bacaan gadis kilang dan gadis pejabat, harganya jangan lebih daripada RM20, sebab pendapatan mereka tidak tinggi.

Apabila menetapkan harga bagi kumpulan remaja dan gadis pejabat, jangan sampai mereka terpaksa mengeluarkan 2 keping wang merah. Daripada segi psikologi apa-apa buku yang dijual dengan harga lebih daripada RM20, mereka akan rasa buku saudara itu amat mahal walaupun perbezaan harga itu adalah antara RM19.90 dengan RM21.00

Jika saudara menerbitkan buku untuk golongan profesional dan orang bisnes, mereka mempunyai wang yang lebih banyak, jadi saudara boleh mencetak buku yang lebih tebal.

Jika saudara menerbitkan buku untuk perpustakaan, saudara boleh meletakkan harga yang lebih tinggi, sebab pustakawan yang membeli buku itu membayarnya dengan menggunakan wang kerajaan ataupun syarikat, bukan wangnya sendiri.