Nabila: "Cikgu Koh"
“Baik, kamu boleh mula sekarang," kata Cikgu Koh seperti biasa.
“Basri, saya sakit perut,” bisik Yahya di sebelah Basri.
“Tahanlah sedikit. Nanti kamu dimarahi cikgu!”
Yahya mengerutkan keningnya yang lebat sambil menekan-nekan perut.
“Kamu tidak ke tandaskah sebelum masuk tadi?” bisik Basri kepada Yahya, rakan sekelas yang duduk di sebelahnya.
“Tidak sempat. Dua tiga orang sedang beratur. Loceng masuk kelas sudah berbunyi,” keluh Yahya.
“Siapa yang bercakap? Senyap!” marah Cikgu Koh.
Basri tunduk menikus.
Setiap pagi Darjah 5 Merah menerima arahan Cikgu Koh supaya membuat latihan latih-tubi bahasa Inggeris. Basri tidak pernah ingat ajaran Cikgu Koh di papan hitam dalam kelas. Yang diingatnya, dia dan rakan-rakannya hanya disuruh membuat latihan bertubi-tubi. Setiap kali Cikgu Koh masuk kelas, masing-masing sibuk menandakan kertas soalan dengan pensel 2B.
“Baiklah. Berhenti menulis. Masa sudah tamat,” kata Cikgu Koh selepas sejam berlalu.
Sebenarnya Basri sudah lupa nama penuh gurunya. Dia cuma ingat mereka semua memanggil guru Cina itu sebagai Cikgu Koh. Dalam kelas Basri pada tahun lima dahulu, hanya ada dua orang guru sahaja yang mengajar mereka. Cikgu Koh mengajar bahasa Inggeris. Cikgu Salleh mengajar semua mata pelajaran selebihnya untuk menduduki Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PMR).
“Baik, sekarang saya bacakan jawapannya. Tandakan kertas jawapan kamu sendiri,” Cikgu Koh memberi arahan.
Bermulalah debaran jantung semua murid darjah 5M.
“Nombor satu, A. Nombor dua, C. Nombor tiga, D,” Cikgu Koh mula membaca jawapan.
Pelajar sibuk menanda jawapan masing-masing.
“Kalau salah, tandakan salah. Jangan tipu diri kamu sendiri !” Suara garau Cikgu Koh mengejutkan mereka. “ Kalau tipu, saya denda kamu!”
Basri menjeling ke sekeliling tanpa mengangkat kepala. Wah, semua pelajar tunduk kerana takut!
“Sekarang kira berapa kesalahan kamu. Per lima puluh.”
“Nombor satu. Siapa salah soalan nombor satu, sila berdiri,” kata Cikgu Koh seperti biasa.
Beberapa orang pelajar bangun. Cikgu Koh mula mendekati mereka seorang demi seorang sambil memberi ‘habuan’ dengan rotan tebal di tangannya.
“Nombor dua. Siapa salah, bangun.”
Kali ini, Yahya dan Basri bangun.
Yahya mengepalkan tangannya sejurus sebelum menerima hadiah dari Cikgu Koh.
Yahya dan Basri duduk kembali. Berdesis mulut Basri ketika punggungnya mencecah kerusi papan yang keras.
Diam-diam di bawah meja, Basri menghulurkan tangan kepada Yahya.
Yahya menyambut tangan Basri lalu berkata, “Kita senasib.”
Sebaik sahaja Cikgu Koh keluar melalui pintu hadapan, Yahya berlari keluar ke tandas melalui pintu belakang. Basri tahu, tidak seperti dirinya, Yahya mengalami dua kesakitan pagi itu. Sakit perut yang memulas dan sakit dirotan oleh Cikgu Koh.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home