Thursday, September 22, 2005

Dr. Haslisa Ramli: "Jin Mandi Sungai"

Malam itu selepas kami makan malam, datuk mula bercerita.

Kata datuk, “Dalam hutan ini, macam-macam makhluk ada, bukan hanya binatang, jin dan syaitan pun ada.”

Betulkah, tok?” kata saya.

Pernah suatu masa dahulu, semasa datuk membawa pisang-pisang ke hilir menggunakan rakit selama dua hari dan dua malam, datuk melihat jin sedang mandi di tepi sungai bersama anaknya. Jin itu melaung dan memanggil nama datuk sambil berpesan,” datuk memulakan ceritanya.

'Che Mamat!' kata jin itu. 'Kalau kamu sampai ke majlis kenduri di hilir nanti, tolong beritahu mak jin, anak jin menangis laparkan susu. Pesan suruh dia balik cepat', jin itu berpesan kepada datuk sambil dia terus mendodoikan anaknya,'” datuk meneruskan ceritanya lagi.

Bagaimana saya hendak kenal rupa emak jin?” jawab datuk.

Kamu tengoklah baik-baik, yang bergayut di atas kawah gulai, emak jinlah itu,” sambung bapa jin lagi.

Bagaimana aku dapat nampak?” tanya atuk pula.

Kamu pakai celak kening ini, nanti kamu pasti dapat melihat emak jin,” kata bapa jin.

Baiklah,” jawab datuk lagi lalu datuk pun meneruskan perjalanannya.

Sesampainya datuk di hilir, datuk melihat suatu majlis kenduri kahwin sedang diadakan, seperti yang diberitahu oleh bapa jin.

Menurut datuk lagi, dia lalu memakai celak kening yang diberikan oleh jin tadi dan dengan serta-merta dia dapat melihat beberapa ekor jin sedang duduk terkangkang di atas kawah gulai yang tidak bertutup.

Mak jin! Bapa jin berpesan suruh kamu balik, anak jin menangis laparkan susu,” datuk berkata kepada mak jin.

Menurut datuk lagi, sebelum mak jin menghilangkan diri, dia meminta semula celak kening yang tadi diberikan oleh bapa jin kepada datuk.

Mengapa datuk pulangkan celak kening itu? Kalau tidak adik mesti dapat tengok hantu juga,” Adik Hisham menyampuk.

Sebenarnya memang datuk hendak simpan, tetapi emak jin paksa datuk supaya mengembalikannya,” datuk menjelaskannya.

Begitukah?” Abang Zura menjawab.

Jadi, sebab itulah kita mesti tutup makanan kita yang terdedah dan kita mestilah sembahyang lima waktu dengan khusyuk,” datuk menasihati kami.

Bagaimana caranya hendak sembahyang dengan khusyuk, tok?” Abang Hasram bertanya pula.

Apabila kita membaca ayat pertama, kita mesti ingat ayat kedua ataupun perbuatan seterusnya di dalam hati, dan begitulah seterunya sehingga selesai ke ayat yang terakhir,” datuk mengajar kami.

(Nota: Dr. Haslisa adalah lulusan Fakulti Perubatan UKM)



1 Komen :

At 8:30 AM, Blogger Latiptalib Berkata ...

Menarik juga kisah " Jin Mandi Sungai" ada pengajaran disebalik kelucuannya.

 

Post a Comment

<< Home