Saturday, September 17, 2005

Kesilapan Lazim Penulis Pintar

Adakah saudara mempunyai apa yang yang dianggap 'pencapaian luar biasa' di kalangan orang Melayu? Sebagai contoh, ijazah saudara adalah dalam bidang-bidang yang lazimnya orang Melayu 'geruni', seperti matematik, fizik, sains nuklear, kajian angkasa lepas, kejuruteraan nano dan seumpamanya?


Individu-individu Melayu yang mempunyai 'pencapaian luar biasa' lazimnya mempunyai ciri-ciri masalah 'psikologi orang pintar'.


Bukan semua orang pintar mempunyai masalah 'pisokologi orang pintar'. Ada segelintir sahaja. Hati-hati supaya saudara tidak terjebak ke dalam masalah ini. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan penulis pintar yang masih muda.


Salah satu ciri masalah orang pintar yang mempunyai 'psikologi orang pintar' adalah mereka itu amat 'passionate' dengan apa-apa yang mereka yakini 'betul'. Passion itu boleh sampai mendorong mereka menulis buku bagi membuktikannya. Mereka mempunyai Misi Besar untuk menyelamatkan kesilapan-kesilapan besar yang ada di sekeliling mereka melalui buku yang ditulis. Lazimnya tidak ada mana-mana penerbit yang mahu menerbitkan buku 'orang pintar' jenis ini. Faktor utamanya adalah isi kandungan buku-buku itu lazimnya bergeser dengan pemikiran agama dan pemikiran sejarah mainstream.


Menulis buku di luar kepakaran bidang yang diikuti di universiti bukanlah perkara salah. Malek Bennabi adalah seorang jurutera, kemudian beliau lebih terkenal sebagai ahli soiologi Islam melalui karya-karya beliau, yang masih dibaca dan terus berpengaruh sehingga hari ini.


Orang yang mempunyai masalah 'psikologi orang pintar' lazimnya mempunyai motivasi yang amat tinggi mahu membuktikan orang-orang lain salah. Motivasi inilah yang mendorong mereka menulis buku.


Membuktikan orang lain salah itu bukanlah perkara yang salah. Apa yang salah adalah menulis buku dengan menggunakan pendekatan dan ayat-ayat yang mempersalahkan jalan fikir orang lain, memperbodohkan kepintaran orang lain, dan memperlekehkan ilmu dan sumbangan orang lain.