Apa Jadi pada CD Pembelajaran?
Pada suatu masa dulu kedai-kedai yang menjual CD memperuntukkan ruang bagi mempamerkan CD-CD pembelajaran, khususnya untuk kanak-kanak. Berbagai-bagai CD pembelajaran ada – CD belajar matematik, CD belajar sains, CD belajar bahasa Inggeris dan berbagai-bagai lagi. Ibu bapa banyak membeli CD-CD pembelajaran bagi anak-anak mereka.
Pada waktu itu muncul kumpulan penulis buku yang melibatkan diri dalam aktiviti penghasilan buku-buku CD pembelajaran. Sudah tentu mereka terdiri daripada guru-guru.
Kementerian Pendidikan (waktu itu) juga banyak melaburkan wang membiayai program mencipta dan menerbitkan pelbagai sofwer pembelajaran. KPM membelanjakan berjuta-juta ringgit membiayai berbagai-bagai kumpulan fokus guru dibentuk dan dilatih dalam pelbagai bengkel dan kursus bagi menghasilkan CD pembelajaran.
KPM juga mengadakan program yang melibatkan penerbit-penerbit buku biasa supaya menerbitkan buku-buku dalam bentuk CD. Malah penerbit buku-buku teks hampir-hampir diwajibkan supaya membekalkan CDnya bagi buku-buku teks yang mereka bekalkan bagi skim buku teks pinjaman.
Syarikat Bumiputera yang paling serius melabur dalam program menerbitkan CD pendidikan adalah ANZAGAIN di Shah Alam, yang mengeluarkan berjuta modal, dan benar-benar berjaya mencipta pelbagai sofwer itu. Pelbagai usaha dilakukan oleh ANZAGAIN bagi memasarkan CD-CDnya. Hari ini CD-CD sofwer itu berlonggok dalam setor penerbit itu.
Pelancaran program sekolah bestari mendorong ramai pihak menubuhkan syarikat bagi mengambil peluang meraih keuntungan dengan hasrat hendak membekalkan pelbagai sofwer pembelajaran. Ramai jurutera muda Melayu dalam bidang IT meletakkan jawatan, menubuhkan syarikat dan membuat pinjaman bank dengan keyakinan mereka dapat mengambil kesempatan daripada beratus-ratus juta wang kerajaan yang diperuntukkan bagi program E-Learning.
MIMOS (Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia) adalah agensi kerajaan yang khusus diarahkan mencipta pelbagai sofwer bagi program E-learning. MIMOS mendirikan makmal khusus dan mengambil berpuluh-puluh jurutera bagi tujuan itu.
Pelabur yang paling besar adalah Telekom Malaysia yang menubuhkan anak syarikat khusus bagi menyokong program Smart School melalui teknologi on-line learning.
Apa sudah jadi kepada pasaran CD pembelajaran?
Hari ini, jika saudara masuk ke dalam kedai-kedai CD, cuba tengok sendiri, berapa banyak CD-CD pembelajaran yang masih dipamerkan. Tidak ada lagi CD terbitan baru. Yang ada hanya judul-judul lama. Puncanya adalah, di Amerika sekalipun, zaman kegemilangan penerbitan CD pembelajaran sudah tamat.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home