Thursday, September 15, 2005

Penulis Banyak Bakat

Adakah saudara seorang yang mempunyai pelbagai bakat? Sebagai contoh saudara mungkin seorang yang mempunyai bakat menulis buku pengetahuan, tetapi saudara juga boleh novel, puisi, bermain alat muzik, menyanyi ataupun bakat-bakat lain.


Apabila saudara seorang yang 'multi-talented', saudara perlu memilih bakat mana yang saudara hendak jadikan modal utama bagi membina hidup selesa dalam dunia penulisan. Jikalau tidak, saudara akan hilang fokus.


Jangan tulis satu buku pengetahuan, satu buku novel, satu buku puisi dan seterusnya. Cara ini tidak membantu saudara menjadi penulis pakar dalam satu-satu bidang, akibatnya saudara tidak terkenal dalam mana-mana bidang, dan saudara tidak dapat membina kelompok peminat bagi karya-karya saudara.


Disebabkan buku-buku saudara itu amat berlainan bidang, buku-buku itu akan diletakkan di rak-rak yang berbeza di kedai buku. Akibatnya pengunjung tidak tahu bahawa saudara mempunyai lebih daripada satu buku. Ia juga menyebabkan nama saudara tidak tertonjol pada mana-mana rak.


Bagi tujuan mencari penerbit pula, saudara mungkin terpaksa mencari lebih daripada satu penerbit disebabkan penerbit yang menerbitkan buku-buku pengetahuan am mungkin tidak menerbitkan novel, manakala penerbit novel pula tidak menerbitkan buku puisi.