Tulis Sekali, Buat Duit Berkali-kali
Banyak penulis menulis banyak buku dalam banyak bidang dan subbidang. Sebagai contoh, dia menulis buku motivasi, buku pengurusan, buku isu-isu semasa, buku biografi tokoh dan seterusnya.
Lazimnya penulis jenis ini tidak berhasil menjana pendapatan tinggi daripada royalti setiap buku itu. Dia mendapat sedikit royalti daripada tiap-tiap judulnya. Setiap kali dia memerlukan wang, dia terpaksa menulis buku baru.
Cara yang betul bagi menjana pendapatan tinggi adalah dengan menulis banyak buku di bawah bidang yang sama. Sebagai contoh, katakanlah saudara menulis dalam bidang komunikasi interpersonal, tulislah buku-buku yang isi kandungannya bertindan antara satu sama lain. Lihat contoh-contoh di bawah:
Panduan Komunikasi di Tempat Kerja
Panduan Komunikasi untuk Pemimpin dan Ketua
Panduan Komunikasi Kekeluargaan
Panduan Komunikasi Bisnes
Panduan Komunikasi Lelaki-Perempuan
Panduan Komunikasi untuk Guru
Panduan Komunikasi untuk Pendakwah
Panduan Komunikasi untuk Perkhidmatan Kaunter
Panduan Komunikasi untuk Perkhidmatan Pelanggan
Panduan Komunikasi dalam Organisasi
Panduan Komunikasi untuk Pekerja Sosial
Belajar Berkomunikasi
Teori-Teori Komunikasi
Panduan Komunikasi Efektif, dan banyak lagi.
Apabila saudara menulis siri buku dalam bidang dan sub-bidang yang sama, banyak bahan-bahan dalam buku itu yang dapat saudara gunakan berkali-kali, bagi menghasilkan beberapa buku. Bahagian teori dan prinsip-prinsipnya adalah bahan yang dapat digunakan dalam beberapa buku. Hanya contoh-contoh aplikasinya yang disesuaikan dengan tajuk yang berlainan.
Inilah cara yang betul bagi menghasilkan banyak buku dalam masa singkat. Jangan menulis buku dalam pelbagai bidang di mana setiap bahagian buku itu harus ditulis baru.
Jika saudara melakukan cara yang tidak betul itu, saudara tidak dapat menghasilkan banyak buku dalam masa setahun. Isi kandungan dan analisis yang saudara kemukakan dalam buku-buku itu juga tidak mendalam, oleh itu tidak meningkatkan kredibiliti saudara.
Dari sudut mencari penerbit pula, saudara terpaksa mencari beberapa penerbit yang berlainan bagi setiap buku saudara. Apabila diterbitkan, buku-buku saudara itu akan diletakkan di rak-rak yang berbeza dalam kedai-kedai buku, mengikut topik tiap-tiap buku. Disebabkan saudara menerbitkan buku dengan banyak penerbit, saudara tidak akan diberi layanan istimewa oleh mana-mana penerbit saudara.
Apabila buku-buku saudara itu semuanya berkenaan satu topik utama, buku-buku itu dapat dipromosi dan dijual sebagai satu set oleh penerbit. Cuba lihat buku-buku dalam kedai-kedai buku. Lihat bagaimana penerbit-penerbit buku berlumba-lumba mempamerkan set-set buku mereka.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home