Tuesday, September 20, 2005

Kepada Siapa Penulis Harus Setia?

Sebagai penulis, hubungan saudara dengan penerbit saudara mempunyai dua sisi:

  1. Di satu sisi saudara setia kepada organisasi. Sebagai contoh buku-buku saudara diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), jadi saudara setia kepada DBP. Walaupun siapa Ketua Pengarahnya, saudara tetap terus menghantar manuskrip baru saudara kepada DBP.

  1. Di satu sisi lain, saudara sudah menjalin hubungan baik, malah sudah berkawan baik, dengan editor DBP yang menguruskan penerbitan buku-buku saudara.

Sesekali, ada editor saudara yang meletakkan jawatan dan menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri. Editor itu memujuk supaya saudara menulis buku untuk syarikatnya.


Apakah yang sebaiknya saudara lakukan? Patutkah saudara memenuhi permintaan sahabat saudara itu?

  1. Jikalau saudara menulis buku baru untuk bekas editor saudara itu, jika dia gagal menjual buku saudara, ataupun dia gagal membayar royalti saudara, hubungan persahabatan saudara dengannya akan putus. Saudara rugi sebuah buku yang gagal dipasarkan, dan saudara hilang kawan.

  1. Jikalau saudara menolak permintaan bekas editor itu, dan terus menulis untuk DBP, saudara berasa tidak sedap hati, disebabkan saudara berasa saudara pernah terhutang budi kepadanya.

Apakah nasihat kita?

Sebagai penulis, pilihan yang baik adalah saudara terus setia kepada penerbit saudara. Berfikirlah secara profesional. Sebagai penerbit, DBP adalah suatu organisasi yang mempunyai kekuatan yang tidak dimiliki oleh mana-mana penerbit baru.


Banyak editor yang meletakkan jawatan dan membuka syarikat penerbitan sendiri gagal dalam bisnes penerbitannya. Editor yang baik belum tentu mempunyai bakat dan kemahiran berniaga.