Tuesday, September 20, 2005

Ab Latip Talib: "Cikgu Zaki"

Bangun! Sekejap lagi matahari terbit!” ibu Arif mengejutkannya daripada tidur.

Arif berharap matahari tidak akan terbit supaya dia dapat terus tidur, tetapi matahari terbit juga.

Dengan marah Arif berteriak. Wahai matahari. Apabila aku besar nanti, aku bunuh kamu!”

Sambil ketawa ibunya berkata, Arif! Pergi ke bilik air, gosok gigi dan mandi.”

Air paip tersumbat. Ubat gigi sudah habis. Cuaca sejuk. Saya tidak mahu mandi,” jawabnya.

Kalau tidak mandi nanti kamu berbau busuk. Kalau tidak gosok gigi, mulut kamu berbau. Bagaimana mahu belajar?” tanya ibunya.

Hari ini cuti. Saya tidak mahu pergi sekolah,” jawab Arif.

Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta.

Cikgu Zaki sudah sampai. Cepat pakai baju. Jangan biarkan cikgu lama menunggu,” kata ibunya.

Tetapi dia bertekad tidak mahu pergi ke sekolah hari itu dan berharap cikgu Zaki tidak akan datang menjemputnya seperti biasa. Tetapi Cikgu Zaki datang juga.

Kalau kamu pergi ke sekolah hari ini, cikgu akan beri duit satu ringgit,” pujuk Cikgu Zaki.

Dengan cepat dia memakai baju sekolah dan berlari turun dari rumah lalu masuk ke dalam kereta Cikgu Zaki.

Ketika dalam kelas, Arif berasa mengantuk yang amat sangat, lalu dia pun terlelap. Tiba-tiba Arif disergah oleh guru kelasnya.

Kamu berdiri!” teriak guru itu.

Arif enggan menurut perintahnya. Arif merenung guru matematik itu. Mukanya nampak merah menahan marah.

Sapu hingus kamu!” teriak cikgu itu lagi.

Tetapi Arif enggan. Sengaja dia membiarkan hingusnya meleleh keluar dari lubang hidungnya.

Mengapa awak pengotor sangat?” suara guru perempuan itu semakin keras.

Arif tetap membisu. Kini hingus itu terasa meleleh hingga ke bibirnya. Arif hendak menghisap sahaja hingus itu.

Tiba-tiba Cikgu Zaki datang, lalu dia membisikkan sesuatu kepada gurunya itu. Arif melihat guru matematiknya tiba-tiba bersikap lembut terhadapnya.

Saya baru sahaja berpindah ke sekolah ini. Sebab itu saya tidak kenal lagi siapa kamu,” kata gurunya.

Kemudian dengan suara yang lembut gurunya berkata, “Mungkin kamu tidak sihat hari ini. Saya benarkan kamu balik rumah, tetapi jawab dulu soalan saya.”

Baiklah,” jawab Arif gembira.

Dua tolak dua, berapa?” tanya guru matematik itu.

Dengan pantas dia menjawab, “EMPAT!”

Kelas peralihan itu riuh dengan gelak ketawa. Semua kawan-kawan mengejek namun Arif tidak mempedulikannya.

Kamu memang budak yang pandai. Apabila sudah besar nanti, kamu mahu jadi apa?” tanya guru matematik itu lagi.

Ahli tinju!” jawab Arif sambil mengepal penumbuknya.

Dia mahu menghayunkan penumbuknya itu ke muka cikgu perempuan itu, tetapi tiba-tiba Cikgu Zaki datang lalu memegang tangannya.

Cikgu baru ini namanya Cikgu Zubaidah. Dia tunang saya. Tidak lama lagi kami akan berkahwin. Jangan melawan dia,” kata Cikgu Zaki.

Tiba-tiba Arif berasa malu kepada Cikgu Zubaidah.

Cikgu Zubaidah, adik saudara saya ini murid istimewa. Maafkanlah dia,” Cikgu Zaki bersuara lembut.

Cikgu Zubaidah merenung muka Cikgu Zaki, kemudian dia menoleh dan senyum kepada Arif.



2 Komen :

At 1:28 PM, Blogger Latiptalib Berkata ...

Assalamualaikum

Setiap hari saya melayari laman web ini dan membaca artikel yang disiarkan.

Terima kasih kerana menyiarkan kisah Cikgu Zaki. Judul asalnya "Murid Istimewa".

 
At 8:10 AM, Blogger cenderawasih Berkata ...

lucu sungguh cerita cikgu zaki ni. saya bukan sahaja ketawa malah menangis. terlalu hebat cikgu yg begini. moga2 guru yg begini akan lahir ke dunia lagi.

 

Post a Comment

<< Home