Saturday, September 24, 2005

Rahsia Kejayaan Buku “55 Resipi Kejayaan”

Buku “55 Resipi Kejayaan” karya Ahmad Fadzli Yusof bersama mentornya Dato' Dr. Fadhilah Kamsah, sudah diulangcetak 8 kali dalam tempoh tidak sampai 2 tahun. Sehingga saat ini buku itu masih berada dalam senarai TOP 5 jualan buku kategori bukan fiksyen di rangkaian kedai-kedai buku MPH dan Popular.

Buku 55RK ini adalah karya induk yang sudah menghasilkan berbelas-belas 'anak-anak' karya lain seperti “RK Untuk Presiden Persatuan”, “RK untuk Pustakawan”, “RK untuk Ketua Kelas”, “RK untuk Pengawas” dan banyak lagi.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan “55 Resipi Kejayaan” menjadi buku panduan pembangunan diri yang memecahkan rekod pasaran bagi kategorinya walaupun ia ditulis sewaktu pengarangnya baru berusia 24 tahun?

  1. Judul buku itu menggunakan bahasa positif, oleh itu ia mempunyai daya tarikan tinggi kepada bakal pembeli.

  2. Isi kandungan buku itu bermaklumat.

  3. Struktur buku itu mudah dibaca dan digunakan. Babnya pendek-pendek dan ditulis dengan menggunakan cara menulis manual.

  4. Nama Dato' Dr. Fadhilah Kamsah sudah mempunyai ramai peminat. Beliau juga memberi dukungan kepada promosi buku itu. Gandingan nama dua tokoh ini menghasilkan regu yang mantap.

  5. Layout dan wajah buku itu menarik.

  6. Tajuk dan kandungan buku ini adalah umum, oleh itu target pasaran buku ini lebih luas. Ia tidak spesifik bagi mana-mana golongan khusus.

  7. Baik Dato' Dr. Fadhilah mahupun Sdr. Fadzli Yusof sendiri, kedua-duanya banyak ikut terlibat mempromosi buku ini.

  8. PTS sebagai penerbit buku ini mengadakan pelbagai aktiviti promosi baik bagi memperkenalkan buku itu mahupun bagi memperkenalkan pengarangnya.

  9. Latar belakang peribadi Sdr. Fadzli Yusof juga menaikkan kredibiliti bukunya. Beliau adalah seorang peguam yang sedang menyiapkan tesis PhDnya, tampan, muda, berakhlak baik, datang daripada keluarga mulia, berbakat sebagai speaker, dan mempunyai kemahiran interpersonal yang tinggi.

Sembilan faktor itu secara bersepadu berjaya memasarkan buku “55 Resipi Kejayaan” secara amat berkesan.