Monday, February 13, 2006

Penulis dan Pelukis: Tip Mengurus Emosi

Barang siapa yang terkahwin dengan golongan seniman tahulah suka duka hidup dengan manusia yang moodnya turun-naik macam ombak besar. Kalau dia tenang, tenang sangat. Kalau dia resah, resah sangat.

Salah satu faktor yang menyebabkan banyak individu yang mempunyai bakat besar tetapi gagal menghasilkan karya-karya besar adalah kemahiran mengurus emosi sendiri.

Kemahiran mengurus emosi sendiri penting disebabkan emosi dapat menyebabkan orang-orang lain suka bekerja dengan kita. Ramai penulis gagal menjaga hubungan kerja dengan penerbit disebabkan faktor si penulis tidak mempunyai kemahiran mengurus emosinya sendiri.

Faktor yang mudah merosakkan hubungan kerja dengan individu lain adalah tingkah laku “payah hendak bersetuju” dengan idea dan pendapat orang lain.

Dalam hidup ini, ada benda kita boleh dapat macam yang kita mahu, ada benda tak boleh dapat. Take some, loose some. Baru kita dapat mencari jalan tengah dalam melaksanakan rancangan kejayaan kita.

Kemahiran mengurus emosi adalah sebahagian daripada apa yang disebut EQ (kepintaran emosi). Individu-individu yang berjaya adalah mereka yang mahir mengurus emosi sendiri dan mengurus emosi orang-orang lain yang berurusan dengan mereka.

Tingkah laku mudah sensitif, mudah kecil hati, mudah merajuk, mudah marah, mudah kecewa, mudah patah semangat adalah tingkah laku rendah-kemahiran mengurus emosi sendiri.

Tingkah laku merajuk dan menarik diri dari kumpulan adalah apa yang disebut “self-sabotage”. Kita gagal bukan disebabkan perbuatan orang lain, tetapi disebabkan perbuatan kita sendiri. Kita yang menggagalkan rancangan kejayaan kita sendiri. Kita mensabotaj kejayaan kita sendiri.

Take some, loose some. Ini formula kejayaan bekerja sebagai satu jamaah. Ada masanya kita ikut orang lain, baru jadi. Yang penting projek itu jadi.

Prioriti kita adalah mencapai objektif projek. Tingkatkan kemahiran mengalah, asalkan projek jadi, dengan cara itu baru karya-karya besar kita itu dapat disiapkan dan diterbitkan. Baru ada kejayaan.

Individu yang tidak pandai mengalah sukar menang. Nabi Muhammad itu seorang yang pandai mengalah.

Semasa sedang menggubal deraf perjanjian gencatan senjata dan perdamaian (Perjanjian Hudaibiah) dengan penduduk Mekah yang memerangi Islam, beliau menggunakan gelaran “Rasulullah” bagi dirinya dalam dokumen itu.

Orang-orang kafir penduduk Mekah tidak setuju Nabi Muhammad menggunakan gelaran “Rasulullah” dalam dokumen tersebut atas alasan mereka tidak mahu mengiktiraf beliau sebagai Rasulullah. Jika mereka mengiktiraf beliau sebagai Rasul Allah bererti mereka mengiktiraf Islam.

Maka Nabi Muhammad pun bersetuju dengan bantahan mereka lalu beliau menggunakan namanya yang sebenar iaitu “Muhammad bin Abdullah” sahaja dalam dokumen tersebut.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad mengalah kepada orang-orang jahil, dan juga musuh-musuhnya. Selepas itu barulah perjanjian itu dapat ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak, dan Nabi Muhammad pun dapat masuk ke Mekah lalu Islam menguasai tanah tumpah darah beliau itu sampai hari ini.



.

1 Komen :

At 1:04 PM, Blogger sinaganaga Berkata ...

Ada yang dah mula panggil saya “al-Fadil”. Jangan! Panggil saya “sensei” sudahlah. Ha ha.

 

Post a Comment

<< Home