Friday, February 10, 2006

Pelukis Buku: Bila Patut Menjual Hakcipta

Adakah saudara dipilih oleh mana-mana penerbit bagi projek ilustrasi buku-bukunya? Katakanlah saudara menjadi pelukis buku cerita kanak-kanak bertajuk “Puteri Bisu”. Saudara melukis 60 keping ilustrasi 4 warna bagi buku tersebut.

Adakah saudara tahu prinsip-prinsip umum apabila hendak membuat keputusan sama ada hendak menyimpan hakcipta lukisan saudara itu ataupun menjualnya?

Royalti adalah bayaran yang dibuat apabila saudara mahu memegang hakcipta lukisan saudara yang digunakan sebagai ilustrasi buku. Lazimnya, royalti dibayar setahun sekali berdasarkan angka jualan buku. Semakin banyak buku terjual, semakin banyak royalti saudara. Begitu juga semakin banyak kali buku itu diulang cetak, semakin berulang kali saudara menerima royalti.

Apabila saudara menjual hakcipta lukisan saudara itu, saudara dibayar satu kali sahaja, katakanlah 60 keping lukisan itu dibayar RM1500. Jikalau buku “Puteri Bisu” itu dicetak 10 kali sebanyak 30 ribu naskhah dalam tempoh 5 tahun sekalipun, saudara tidak menerima apa-apa bayaran lagi.

Katakanlah, saudara memilih royalti. Bagi setiap unit, royalti saudara adalah 20 sen, maka dalam tempoh itu saudara menerima RM6000. (Sekarang saudara faham mengapa penerbit suka membeli hakcipta lukisan!)

Jadi, prinsip pertama: Apabila buku yang saudara buat lukisannya itu adalah jenis buku evergreen, simpan hakcipta saudara. Buku-buku cerita seperti "Puteri Bisu" mempunyai ciri-ciri jenis buku evergreen.


.