Thursday, February 09, 2006

Dialog Perempuan dalam Alam Percintaan: Teknik Surah Yusuf

Kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf adalah kisah cinta terlarang, kisah cinta tiga segi, kisah cinta tak berbalas, kisah cinta antara dua darjat, kisah cinta isteri curang, kisah cinta buta suami dayus, kisah skandal dalam kamar tidur orang kaya dan ternama, kisah perempuan dewasa tergila-gila akan lelaki muda, kisah ibu angkat jatuh cinta kepada anak angkat lelakinya sendiri.....

Menulis dan menghasilkan novel cinta itu bukan sesuatu yang tidak ada paralelisme-nya dalam Quran. Begitu juga menuliskan kisah cinta Khadijah kepada Nabi Muhammad bukan sesuatu yang tidak diizinkan.

Tema cinta adalah tema terbuka dalam sastera Islami, yakni apa jua tema cinta dibenarkan dijadikan bahan dalam cerita novel Islami.

Yang tertutup dalam sastera Islami adalah teknik-teknik perceritaannya, yakni ada teknik penceritaan yang diizinkan dan ada teknik-teknik yang tidak diizinkan.

Apakah jenis ayat-ayat dialog yang diizinkan dalam novel cinta Islami? Adakah kata-kata dialog “I love you.” dan “I love you too.” dibenarkan?

Dalam surah Yusuf hanya terdapat enam (6) jenis ayat dialog yang diucapkan oleh Zulaikha.

Jenis 1. ....serta katanya, “Mari ke mari!” (Yusuf, ayat 23)

Kata-kata ini diucapkan oleh Zulaikha kepada Nabi Yusuf.

Ayat ini berfungsi sebagai ayat manipulatif, yakni ayat tipu muslihat. Dalam episod ini Zulaikha pura-pura memberi arahan kepada Nabi Yusuf supaya mahu masuk ke dalam kamarnya, seolah-olah ada perkerjaan yang hendak disuruh. Apabila Nabi Yusuf sudah masuk, Zulaikha menutup pintu kamarnya.

Jenis 2. (Kata Zulaikha kepada al-Aziz), “Apakah balasan bagi orang yang berniat hendak berbuat serong kepada isteri kekanda, melainkan dia dipenjarakan ataupun disiksa dengan siksaan yang pedih!” (Yusuf, ayat 25)

Kata-kata ini diucapkan oleh Zulaikha kepada suaminya, al-Aziz.

Ayat ini berfungsi sebagai ayat dusta. Dalam episod ini Zulaikha membuat laporan palsu kepada suaminya, kononnya Nabi Yusuf yang masuk ke dalam kamarnya dengan niat serong.

Jenis 3. Lalu (Zulaikha) berkata kepada Yusuf, “Keluarlah! Tunjukkan dirimu kepada perempuan-perempuan itu.” (Yusuf, ayat 31)

Kata-kata ini diucapkan oleh Zulaikha kepada Nabi Yusuf.

Ayat ini berfungsi sebagai ayat perintah yang diucapkan oleh seorang majikan kepada hambanya.

Jenis 4. Berkata (Zulaikha kepada perempuan-perempuan Mesir itu), “Dialah orangnya yang kamu semua perkatakan, tentang bagaimana saya mencintainya. Sememangnya saya yang mengajaknya, tetapi dia menolak.... (Yusuf, ayat 32)

Kata-kata ini diucapkan oleh Zulaikha kepada sahabat-sahabat perempuannya yang telah mengumpat dan mencacinya kerana jatuh cinta kepada hambanya sendiri.

Ayat ini berfungsi sebagai ayat tempelak kerana kata-kata itu diucapkan oleh Zulaikha selepas sahabat-sahabatnya terpotong jari sendiri apabila terpandang Nabi Yusuf.

Jenis 5. “.....jikalau dia enggan melakukan apa yang saya perintahkan, nescaya dia akan dipenjarakan, sehingga dia menjadi orang yang hina.” (yusuf, ayat 32)

Ayat ini diucapkan oleh Zulaikha kepada sahabat-sahabat perempuannya.

Ayat ini berfungsi sebagai ayat dendam seorang majikan perempuan yang cantik, pintar dan licik apabila dia gagal mendapatkan apa yang dimahukannya. Kata-kata Zulaikha itu mengandungi mesej tersirat bahawa sebagai isteri kepada al-Aziz dia berkuasa menentukan nasib Nabi Yusuf. Kata-katanya itu mencerminkan psikologi Zulaikha, yang apabila dia gagal mendapatkan lelaki yang digilainya, dia mahu melihat kehidupan lelaki itu hancur.

Jenis 6. Berkata (Zulaikha), “Sekarang sudah terbukti kebenaran: Sayalah yang mengajaknya, sedangkan dia orang yang benar.” (Yusuf, ayat 51)

Kata-kata ini diucapkan oleh Zulaikha kepada Raja Mesir yang menyiasat mengapa Nabi Yusuf dipenjarakan.

Ayat ini berfungsi sebagai ayat pengakuan atas kesalahan, yakni ayat keinsafan.

Dengan analisis ini, teori sastera Islami mazhab surah Yusuf secara implisit menyenaraikan 6 jenis ayat-ayat dialog yang boleh diucapkan oleh watak perempuan yang sedang dalam alam percintaan.

Justeru, kita membuat kesimpulan, berdasarkan surah Yusuf, sesetengah jenis ayat cinta tidak boleh diperdagangkan, yakni tidak boleh dijadikan barang yang dijual-beli.

Kembali kepada persoalan, apakah dialog "I love you." diizinkan dalam novel cinta Islami? Berdasarkan surah Yusuf, kita berpendapat, tidak diizinkan.

Sebagai penulis, apabila dalam novel cinta kita itu terdapat ayat-ayat terlarang, pendapatan daripada hasil pemerdagangan ayat-ayat tersebut adalah tidak diizinkan.



.

2 Komen :

At 9:52 AM, Blogger jiGOMorrison Berkata ...

Puan,

Jika perkataan cinta diharamkan terus dari novel cinta Islami dan sebagai gantinya, watak-watak hanya boleh mengucapkan ayat manipulatif, ayat dusta, ayat perintah, ayat tempelak, ayat dendam dan ayat pengakuan, saya tak faham bagaimana ia masih boleh dianggap sebagai novel cinta.

Harap puan boleh ulas lebih lanjut.

Terima kasih!

 
At 10:09 AM, Blogger Zaid Akhtar Berkata ...

Perkataan cinta tidak perlu diharamkan. Lafaz 'aku cinta kamu' mungkin boleh dikurangkan.
Contohnya, dlm hubungan suami-isteri. ;-) Namun dgn kebijaksanaan, penulis masih boleh mengelak mengunakan lafaz begitu. Boleh diolah dalam bentuk lain.

zaid

 

Post a Comment

<< Home