Monday, February 13, 2006

Wang Besar daripada Buku Kecil

Golongan seniman, termasuk penulis, jarang mempunyai 'money sense' yang tajam. Money sense adalah bakat semula jadi yang membolehkan seseorang itu menghidu di mana ada peluang membuat duit.

Individu-individu yang hidungnya tidak tajam mengesan di mana wang ada, lazimnya berfikir, wang besar ada dalam projek-projek besar, manakala wang kecil ada pada projek-projek kecil. Logik ini mendorong mereka menjalankan projek-projek besar yang memerlukan modal besar.

Wang besar ada di mana-mana. Wang besar ada pada projek-projek besar. Wang besar juga ada pada projek-projek kecil. Baca buku “Jutawan Senyap” bagi mendapatkan gambaran tentang banyaknya peluang membuat wang besar dalam produk-poduk kecil.

Dalam dunia penulisan pun demikian juga. Ada wang besar dalam buku besar, ada wang besar dalam buku-buku kecil. Buku “Bukan Puteri Lindungan Bulan” yang hampir 1000 halaman tebalnya, dan dijual pada harga RM49 memberikan wang besar kepada Lyana Afera Malik dan Creative. Buku-buku kecil seperti “Jutawan Senyap” juga membawa wang besar kepada Chef Li dan Al-Ameen. Buku itu sudah dicetak 60 ribu naskhah.

Buku-buku besar hanya dapat dihasilkan apabila saudara mempunyai bakat penulisan yang besar. Buku besar lebih susah hendak dijual dan dipasarkan. Menurut sesetengah sumber, Creative membelanjakan hampir RM 1 juta bagi mempromosi “Bukan Puteri Lindungan Bulan”.

Jika saudara baru belajar berkarya, mulakan dengan projek menulis buku-buku kecil. Buku-buku kecil lebih mudah dihasilkan, lebih cepat disiapkan dan lebih mudah dijual. Dengan menulis 10 buku kecil, saudara boleh mendapat jumlah royalti yang lebih banyak daripada sebuah buku besar.


.

1 Komen :

At 8:01 AM, Blogger EyesOfNabil Berkata ...

Assalamualaikum,

Tapi apakah lagi contoh buku-buku kecil?

 

Post a Comment

<< Home