Friday, March 17, 2006

Buku Cerita: Pemikiran Lapuk Malaysia

Berkenaan buku cerita, kita mempunyai mentaliti mundur sekali! Baik sebagai penerbit mahupun sebagai penulis, kita mundur, kita ketinggalan zaman, kita bersalah terhadap remaja!


Dunia buku Melayu mahukan karya yang mempunyai peminat seperti komposisi para peminat Tom Clancy dan John Grisham, yang diminati baik oleh remaja awal mahupun dewasa. Karya-karya mereka dibaca oleh kanak-kanak serendah 10 tahun!


Tetapi penulis-penulis Malaysia masih berpegang kepada keyakinan salah, kononnya pembaca remaja adalah pembaca bodoh, yakni lebih bodoh daripada golongan dewasa, oleh itu remaja memerlukan buku-buku yang sesuai dengan kebodohan mereka. (Dengan maaf), mentaliti seperti ini lebih membarah di kalangan para penulis dan editor perempuan.


Dari sudut pandang teori sastera Islam sendiri, tidak ada 'Ini cerita untuk remaja' dan 'Ini cerita untuk dewasa'. Cerita-cerita dalam Quran ditujukan kepada semua peringkat umur. Satu cerita untuk semua. Surah Yusuf ditujukan kepada baik remaja mahupun dewasa. Jadi, pemikiran yang mengatakan bahawa buku cerita untuk remaja lain, buku cerita untuk dewasa lain, adalah ditolak oleh teori sastera Islam mazhab surah Yusuf.


Dua orang penulis fiksyen yang paling banyak dibaca oleh remaja Amerika adalah Tom Clancy dan John Grisham. Hanya karya mereka berdua yang pernah dicetak pertama kali sebanyak 2 juta naskhah.


Walaupun buku-buku Tom Clancy dan John Grisham popular di kalangan pembaca remaja, sebenarnya karya mereka ditulis dan dipakejkan untuk dewasa.


Novel-novel Tom Clancy adalah thriller politik, menceritakan secara detail teknik-teknik perisikan, espionaj, dan sains ketenteraan dalam era Perang Dingin Amerika-Soviet, dengan plot yang sangat kompleks. Banyak novelnya sudah diterbitkan sebagai filem dan computer games yang amat popular. (Kebetulan, selepas peristiwa September 11, beliau muncul dalam suatu program TV lalu memeranjatkan masyarakat Amerika apabila beliau membela Islam.) Beliau adalah lulusan sastera Inggeris.


John Grisham adalah penulis Amerika yang paling laris, mengalahkan Tom Clancy. Beliau menulis novel-novel bidang kepeguaman dan undang-undang dengan segala macam skandal yang berlaku dalam proses perbicaraan kriminal, secara yang amat profesional. Novel-novel beliau sudah diterbitkan sebagai filem. Beliau adalah seorang peguam.


Mari kita bertaubat! Zaman 'Ini buku remaja' dan 'Ini buku dewasa' sudah berakhir. Remaja dan dewasa membaca buku-buku cerita yang sama.





1 Komen :

At 3:07 PM, Blogger abdullahjones Berkata ...

setuju.

 

Post a Comment

<< Home