Dasar Editorial
Apabila saudara membuka syarikat penerbitan, saudara perlu menetapkan dasar-dasar editorial yang akan diamalkan oleh semua staf jabatan penerbitan. Dasar itu perlu dituliskan, perlu terangkan dan perlu dilaksanakan.
Dasar editorial memudahkan kerja-kerja para editor saudara menerima, meminda ataupun menolak manuskrip yang dihantar oleh penulis.
Bagi membolehkan saudara merangka dasar editorial bagi syarikat saudara, jawab pertanyaan berikut:
Dasar kandungan terbitan: Apakah jenis-jenis isi kandungan yang saudara akan terbitkan dan tidak akan terbitkan? Sebagai contoh, adakah saudara akan menerbitkan novel cinta sahaja? Kalau ya, dasar ini akan menetapkan dengan lebih terperinci kriteria teknikal dan moral novel-novel itu. Sebagai contoh PTS FORTUNA menerbitkan karya kreatif, tetapi yang mematuhi teori sastera Islami aliran surah Yusuf sahaja.
Dasar kategori fizikal buku: Apakah kategori penerbitan yang saudara akan terbitkan dan tidak akan terbitkan? Adakah saudara akan menerbitkan buku kulit lembut dan hitam-putih sahaja, ataupun saudara akan menerbitkan buku-buku empat warna, dan edisi mewah kulit tebal juga.
Dasar pembaca sasaran: Adakah saudara akan menerbitkan buku-buku untuk bacaan wanita 18 tahun ke atas sahaja? Sebagai contoh PTS ONE hanya menerbitkan buku-buku untuk bacaan awal remaja, yakni lepas akil baligh, antara 9 hingga 15 tahun.
Dasar bahasa: Adakah saudara akan menerbitkan buku dalam Bahasa Melayu sahaja? Dasar ini membolehkan saudara merangka buku panduan stail gaya bahasa in-house yang menjadi pegangan semua staf editorial.
Dasar medium: Adakah saudara akan menerbitkan buku foto, buku bergambar, buku grafik, komik, CD, kaset, e-book dan seumpamanya?
Dasar bisnes buku: Adakah saudara akan menerbitkan buku untuk jualan di kedai-kedai buku sahaja? Ataukah saudara akan menerbitkan buku-buku kontrak kerajaan sahaja? Ataukah saudara akan menerbitkan buku-buku untuk direct-marketing ke sekolah-sekolah sahaja. Sebagai contoh, PTS hanya menerbitkan buku-buku yang sesuai dijual di kedai-kedai buku, yakni dengan andaian buku-buku yang sesuai dijual di kedai buku juga sesuai dibeli oleh kerajaan untuk dibekalkan ke perpustakaan awam dan sekolah.
Dasar editorial membolehkan para petugas di syarikat saudara tahu dengan jelas manuskrip yang bagaimana yang mereka harus cari, golongan mana yang layak menulisnya, bagaimana menghasilkan buku-buku itu dengan rupa wajah yang menarik pembeli target, dan bagaimana memasarkannya dengan berkesan.
Banyak penerbit baru tidak merangka dengan jelas dasar editorial mereka, akibatnya mereka main tangkap muat apa buku yang diterbitkan. Ini adalah resipi menempah kegagalan dalam dunia bisnes buku.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home