Pesta Buku Islam Jakarta
Kita baru malam tadi tiba dari Jakarta kerana mengunjungi Pesta Buku Islam Indonesia dan sekaligus ke Bandung bagi mengetahui perkembangan terbaru buku-buku PTS yang bakal diterbitkan semula di Indonesia. Bagi pesta ini PTS menghantar 6 orang pegawainya, dan syukur, kita dapat mencapai semua tujuan penghantaran itu.
Pesta Buku Islam ini lebih kecil daripada Pesta Buku Jakarta kerana hanya penerbit yang mengadi anggota persatuan penerbit buku-buku agama sahaja yang ikut serta dalam pesta ini. Oleh itu PT Gramedia, iaitu penerbit terbesar di Indonesia tidak ikut serta meskipun ia menerbitkan buku-buku agama Islam. PT Gramedia tidak menjadi anggota persatuan disebabkan ia adalah penerbit milik kepentingan Katholik.
Penerbit buku-buku agama terbesar di Indonesia adalah Mizan Group. Ia menerbitkan buku-buku agama bagi semua peringkat umur dan semua peringkat pendidikan.
Selama dua hari kami menghabiskan waktu di pesta buku itu inilah kesan kami rasai:
Disebabkan tema pesta itu terhad pada buku-buku agama Islam sahaja, kita mendapat gambaran yang jelas tentang siapa pemain-pemain utama sektor itu dan jenis produk masing-masing. Ini memudahkan kita mendapatkan maklumat yang betul.
Kecepatan negara itu menterjemahkan buku-buku agama yang terbaru di pasaran, baik dari negara-negara Arab mahupun Eropah dan Amerika, baik buku-buku yang ditulis oleh ilmuan Islam mahupun bukan Islam, patut dipuji. Institut Terjemahan Negara Malaysia (TNM) patut berguru kepada penerbit-penerbit Indonesia bagi membongkar rahsia bagaimana dengan modal yang sangat terbatas mereka dapat menterjemahkan dan menerbitkan karya-karya besar.
Seni rekabentuk dan perwajahan buku-buku agama di Indonesia sudah jauh berkembang dibandingkan dengan situasi kita di negara ini. Sebagai contoh, dalam buku-buku bacaan remaja, cerita-cerita tentang biografi sahabat-sahabat Nabi Muhammad disertai ilustrasi wajah sahabat-sahabat itu.
Buku-buku agama popular dapat dijual sehingga melebihi 150 ribu naskhah, khususnya buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh dakwah yang popular Indonesia.
Pasaran untuk buku-buku agama konvensional seperti buku-buku koleksi doa dan zikir dalam bentuk mewah kulit tebal sangat besar di negara itu. Ini menggambarkan bahawa golongan berwang di Indonesia banyak membeli dan menggunakan buku-buku kategori itu. (Mereka aktif mengamalkan ibadat berdoa dan berzikir.)
Kita juga nampak dengan semakin jelas keaktifan penerbit yang khusus menerbitkan buku-buku aliran Syiah, daripada buku-buku kecil kepada yang tebal-tebal dan kulit keras. Tidak kurang aktif adalah penerbitan buku-buku aliran liberal.
2 Komen :
tak sabar nak jumpa puan. nak dengar sendiri cerita2 dari sana.
p.s storibod on the way. CR pun sama. haha
Sdr el-maaniq,
Macam-macam cerita bagus dari Jakarta dan Bandung... Nanti kita minum kopi di kedai Anwar tu... kita cerita panjang. Ada buku saya nak tunjukkan kepada sdr dan sdr jOnOs....
Post a Comment
<< Home