Tuesday, March 07, 2006

Dialog dalam Surah Yusuf

Dalam buku-buku panduan menulis novel yang ditulis berdasarkan teori-teori ciptaan manusia, salah satu perkara yang tidak diterangkan adalah panduan menulis dialog. Ini berbeza dengan teori novel Islami berdasarkan mazhab surah Yusuf.


Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 ayat adalah ayat dialog, iaitu sekitar 74 peratus. Kisah Nabi Yusuf itu sendiri dibuka dengan menggunakan ayat dialog.


Pada keseluruhannya, dalam 86 ayat dialog itu terdapat 91 potong dialog sebab dalam satu (1) ayat mungkin terdapat dua (2) potong dialog, sebagai contoh dalam ayat 90 terdapat dialog: Kata abang-abang Nabi Yusuf, “Engkau ini Yusufkah?” Jawab Nabi Yusuf, “Ya, saya Yusuf, dan ini abang saya (Bunyamin).”


Disebabkan dialog menjadi alat utama menyampaikan cerita, maka analisis dialog-dialog dalam surah Yusuf menjadi topik penting bagi teori novel Islami.


Salah satu analisis itu adalah hitung kata dalam ayat dialog. Dua jenis hitung kata yang paling asas adalah:


  1. Hitung jumlah ayat dalam sesuatu dialog.

  2. Hitung jumlah perkataan dalam dialog.


Dari sudut jumlah ayat, dialog yang paling pendek dalam surah Yusuf adalah 1 ayat, manakala dialog yang paling panjang terdiri daripada 5 ayat. Berikut adalah pembahagiannya:


Dialog yang terdiri daripada 1 ayat = jumlah 46 (yakni 50%!)

Dialog yang terdiri daripada 2 ayat = jumlah 31

Dialog yang terdiri daripada 3 ayat = jumlah 9

Dialog yang terdiri daripada 4 ayat = jumlah 4

Dialog yang terdiri daripada 5 ayat = jumlah 1 (surah Yusuf, ayat 100, iaitu dialog Nabi Yusuf yang menutup ceritanya.)


Jelaslah, sudut pandang teori sastera Islam mazhab surah Yusuf menganggap penggunaan banyak dialog yang panjang-panjang adalah unsur kecacatan pada keindahan gaya bahasa. Analisis ini memberikan panduan bahawa dalam seluruh novel Islami, 50% dialog hendaklah jenis dalam 1 dialog hanya ada 1 ayat sahaja.


Demikian juga penggunaan banyak ayat dialog yang panjang-panjang adalah unsur kecacatan, bukan unsur keindahan. Purata ayat dialog dalam surah Yusuf terdiri kurang daripada 10 perkataan.


Mengapakah 50% dialog dalam sebuah kisah yang indah itu terdiri daripada dialog satu ayat? Tuhanlah yang lebih mengetahui.





1 Komen :

At 5:30 PM, Blogger Unknown Berkata ...

saya setuju sangat tu. Tapi saya rasa, penulis yg byk cakap meleret, akan cenderung buat ayat panjang2. Kalau kena penulis yg suka mengajar-ajar, dialognya pun jadi mengajar-ajar juga. Itu pendapat sayalah. Penulis menulis ikut gaya cakapnya.

 

Post a Comment

<< Home