Sunday, March 05, 2006

Memilih Saiz Buku

Saiz buku adalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan sesuatu buku itu laku dijual di kedai-kedai buku ataupun sebaliknya.


Katakanlah, saudara merancang mahu menerbitkan novel, tetapi bukan novel cinta seperti persisnya novel-novel Alaf21. Katakanlah, novel yang akan saudara terbitkan itu adalah novel cinta Islami.


Jika saudara mahu menggunakan saiz yang serupa dengan saiz novel-novel Alaf21, novel saudara itu akan dipamerkan oleh pekedai di rak yang sama dengan rak novel-novel cinta Alaf21.


Duduk sebaris dengan novel-novel cinta Alaf21 mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri.


Kelebihan yang paling jelas adalah, novel saudara itu diletakkan di tempat yang strategik. Pembeli novel-novel Alaf21 akan ternampak novel saudara, harap-harap mereka akan membelinya.


Alaf21 menggunakan saiznya sekarang sebab saiz itu mula-mula digunakan oleh novel-novel Creative, dengan menggunakan saiz yang serupa novel-novel Alaf21 dapat berkongsi rak dengan novel-novel Creative dalam kedai buku. Strategi ini ditiru oleh Rythm, Times, Utusan, NB Kara, KakiNovel, Media Intens dan KaryaDia.


Kelemahan duduk sebaris dengan Alaf21 adalah, bakal pembeli saudara belum apa-apa sudah mempunyai persepsi novel saudara itu serupa sahaja isinya dengan novel cinta Alaf21!


Bagaimanakah nama baru saudara dapat menandingi nama-nama ratu novel cinta seperti Norhayati Berahim, Fauziah Ashari, Aina Emir dan Sharifah Abu Salem?


Lazimnya purata pembeli novel cinta membeli antara 1 ataupun 2 judul sahaja sebulan. Tetapi pada hari ini jumlah novel cinta yang diterima oleh kedai-kedai adalah antara 15 hingga 20 judul setiap bulan! Rak-rak novel cinta sudah sempit.


Apabila berdepan dengan pilhan yang terlalu banyak, manusia malas hendak menyemak setiap pilihan sebelum membuat keputusan. Lalu secara heuristik, mereka berpatah balik kepada pengalaman lalu, yakni memilih nama-nama yang mereka sudah selesa, kerana mereka tidak mahu mengambil risiko terbeli novel tidak bermutu. Jalan paling selamat adalah memilih nama-nama yang sudah terkenal, siapa lagi kalau bukan nama ratu-ratu cinta itu?


Jadi, lebih baik saudara tidak menggunakan saiz yang serupa dengan novel-novel cinta Alaf21, ia tidak ia, novel saudara bukan sebarang novel cinta, tetapi novel Islami!


TETAPI, jika saudara menggunakan saiz yang lebih besar, sebagaimana saiz novel-novel DBP, novel saudara akan diletakkan di rak lain sebab novel saudara tidak muat jika hendak diletakkan di rak novel Alaf21. Jadi novel saudara mungkin diletakkan di rak buku-buku Melayu, bersama-sama dengan buku-buku Melayu lain.


Novel saudara akan tersorok dan terselit di antara buku-buku agama, buku motivasi, keibu-bapaan, bisnes, politik dan lain-lain lagi. Salah satu tingkah laku pembeli novel Alaf21 adalah, mereka tidak pergi melihat-lihat buku yang dipamerkan di rak-rak selain rak novel cinta. Jadi mereka tidak akan ternampak novel saudara itu.





5 Komen :

At 2:59 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Fakrul,
DBP beralih saiz sebab pegawai2 DBP pun terperangkap ke dalam mindset mainstream yang dicipta oleh Creative dan Alaf21. Dalam hal ini DBP sudah menjadi pemain ikut-ikutan pula, bukan lagi pemain pencipta trend, sebagaimana suatu waktu dahulu.

Dilema mahu ikut saiz siapa ini, ya, akan saya tuliskan pemikiran saya dalam entri lain. Saya sedang memikirkan isu ini dengan lebih teliti....

 
At 3:37 PM, Blogger ok Berkata ...

Sifu Ainon, Kenapa buku-buku novel tidak ada sedikit kata-kata yang menarik di kulit depan novel?

Yang ada cuma di belakang. Di belakang ia terlindung. Hanya akan dibaca jika diambil oleh manusia.

Jika letakkan kata-kata menarik di kulit novel, bukankah ia satu kelainan dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana novel?

Dan ia jelas kelihatan walaupun buku itu tidak perlu diangkat oleh manusia.

Bukankah ia satu cara menarik minat manusia?

Cuma satu persoalan. Bukan cadangan sbb mungkin ada alasan yang tersendiri kenapa tidak ada kata-kata menarik di depan kulit novel.

 
At 4:45 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Manmoncang,

Kata-kata menarik yang ditulis di kulit depan dipanggil dengan istilah "blurp depan". Yang ditulis di kulit belakang dipanggil "blurp belakang".

Sesetengah penerbit membuat blurp depan, sesetengah penerbit tidak. Di kalangan yang tidak, mereka mengatakan novel oleh nama-nama pengarang besar tidak memerlukan 'cacing umpan'!

Memang betul, dari satu segi, blurp berfungsi sebagai advertising copy, oleh itu karya yang memerlukan bantuan kopi iklan di kulit depan adalah karya penulis-penulis yang belum terkenal... Hmmm... begitulah kata mereka.

 
At 3:06 PM, Blogger Unknown Berkata ...

sebagai seorang pembaca, saya memang suka buku bersaiz kecil, senang dibawa dan disimpan di mana-mana.

Cuma yang leceh sikit, buku kecil susah untuk dibuka. akan tertutup sendiri bila dibuka. Ianya menyusahkan saya yang minat membca sambil menjamu selera di meja makan..

 
At 3:54 PM, Blogger sinaganaga Berkata ...

>>>Kata-kata menarik yang ditulis di kulit depan dipanggil dengan istilah "blurp depan". Yang ditulis di kulit belakang dipanggil "blurp belakang".

Sedikit teks di kulit muka hadapan dipanggil - KICKERS. Teks yang lebih panjang di kulit muka belakang - BLURP.

Harap maklum. :)

 

Post a Comment

<< Home