Monday, March 06, 2006

Jumlah Cetakan dan Strategi Promosi

Salah satu strategi promosi yang dahulu digunakan oleh penerbit muzik, iaitu strategi menguar-uarkan jumlah unit CD dan kaset yang terjual, kini strategi itu sudah mula ditiru oleh penerbit buku.


Barangkali saudara perasan, kolum hiburan dalam akhbar-akhbar Melayu dan majalah-majalah hiburan Melayu, kerap menyiarkan sudah berapa ratus ribu, ataupun puluh ribu unit kaset dan CD penyanyi popular seperti Mawi dan Siti Nurhaliza dicetak dan dijual.


Gosip-gosip mengatakan jumlah yang diuar-uarkan oleh penerbit CD dan kaset muzik itu tidak tepat. Angka jualan itu dibesar-besarkan. Kalau laku 50 ribu, dikatakan laku 150 ribu. Ia adalah trik yang digunakan dalam kempen jualan semata-mata bagi melariskan lagi CD dan kaset artis-artis itu.


TETAPI jumlah 100 ataupun 200 ribu itu ditulis oleh wartawan dengan tidak menyebutkan sumber maklumatnya, yakni kita tidak diberitahu maklumat itu datang daripada mulut siapa.


Mengapakah wartawan-wartawan hiburan tidak menulis dari mana mereka mendapat statistik tersebut? Bukankah akan bertambah tinggi kredibiliti berita itu apabila disebutkan bahawa angka itu diperoleh daripada GM syarikat itu sendiri, misalnya.


SEBAB pihak syarikat penerbit muzik sudah memberitahu wartawan supaya jangan sekali-kali memetik mana-mana nama pegawai syarikat berkenaan sebagai pihak yang memberi statistik itu. Itu sebabnya dalam berita-berita yang disiarkan itu tidak disebut sumber rujukan angka itu!


Mengapa tidak boleh? Sebab jumlah angka jualan CD, kaset ataupun buku adalah RAHSIA perniagaan syarikat dan RAHSIA harta kekayaan artis dan penulis. Ya, rahsia!


Jika angka itu dibocorkan oleh wartawan, itu urusan wartawan dan akhbarnya, bukan urusan syarikat penerbit. Pandai-pandai si wartawanlah mencari bahan berita. Membocorkan rahsia syarikat lain bukan kesalahan. Yang salah adalah membocorkan rahsia perniagaan syarikat sendiri.


Etika bisnes yang menjadi pegangan penerbit buku dan penerbit muzik mempunyai persamaan dalam kes rekod jualan penyanyi dan pengarang. Mana-mana pegawai syarikat yang membocorkan rahsia perniagaan syarikatnya dan rahsia pendapatan artis dan penulisnya adalah dianggap sudah melakukan kesalahan yang serius.


Sebagai penulis, maklumat tentang jualan karya saudara adalah rahsia peribadi saudara. Hanya saudara satu orang, dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berhak tahu berapa sebenarnya nilai jualan buku dan royalti yang saudara terima daripada penerbit saudara. Mana-mana pihak yang hendak mendapatkan maklumat pendapatan saudara daripada penerbit buku-buku saudara, maka dia perlu mendapatkan arahan mahkamah terlebih dahulu!


Jikalau syarikat penerbit muzik tidak boleh memecahkan rahsia statistik jualan CD dan kaset penyanyinya, mengapakah penyanyi seperti Mawi dan Siti Nurhaliza diam sahaja, tidak membantah, sedangkan akibat tersebarnya statistik itu hidup mereka menjadi terganggu. Mereka diburu oleh banyak pihak, bukan hanya diburu LHDN, tetapi segala macam manusia jahat cuba mengambil kesempatan menipu mereka.


Mawi dan Siti Nurhaliza tidak dapat berbuat apa-apa sebab, mereka tidak tahu dari mana wartawan itu mendapat maklumat tersebut. Mereka berdua tidak boleh menuduh syarikat penerbit yang membocorkannya. Maklumat umum dapat diperoleh daripada cakap-cakap pekerja di syarikat pencetak, pengedar, pekedai, pengangkutan, budak setor dan banyak sumber tidak rasmi. Wartawan adalah pakar mengorek maklumat!


Jika saudara hendak menceburkan diri sebagai penerbit buku, jangan sekali-kali membocorkan rahsia kewangan penulis-penulis saudara, walaupun kononnya atas niat baik, iaitu hendak mempromosikan lagi karya penulis-penulis itu, sebab perbuatan itu menyalahi tatacara perniagaan. Gunakan cara-cara promosi lain.


Jika saudara rasa saudara tetap hendak menggunakan strategi itu, saudara wajib mendapatkan persetujuan penulis-penulis berkenaan secara bertulis terlebih dahulu.





1 Komen :

At 3:00 PM, Blogger Unsunghero Berkata ...

Puan...ohhh, begitu rupanya senario sebenar. baru saya tahu. terima kasih untuk maklumat yang berguna ini...

 

Post a Comment

<< Home