Wednesday, March 08, 2006

Budak Kecil lawan Budak Besar

Dunia industri buku Melayu sekarang mempunyai 7 penerbit kreatif yang dimiliki oleh nama-nama individu:

NB Kara - milik Norhayati Berahim
Media Intens - milik Fauziah Ashaari
Karyadia - milik Aina Emir
Citra Kurnia - milik Lim Swee Tin
Khalysa - milik Shamsiah Mohd. Nor
KakiNovel - milik Rizal Abdullah
Wira Bukit - milik Helmy Samad

Gosip mengatakan seorang lagi penulis novel cinta yang terkenal akan menceburkan diri menjadi penerbit karyanya sendiri dan karya penulis-penulis lain.

Penerbit-penerbit itu adalah budak-budak kecil yang harus bersaing dengan 2 budak besar utama iaitu Creative dan Alaf21.

Salah satu falasi (kesilapan pada cara berfikir) budak-budak kecil yang masuk ke dalam pasaran yang sudah didominasi oleh satu ataupun dua budak besar adalah, mereka menyangka dengan melawan budak-budak besar itu mereka baru dapat survive.

Falasi itu mendorong budak-budak kecil dihantui oleh budak-budak besar. Dalam serba-serbi yang mereka fikirkan, dalam minda mereka ada bayang-bayang budak besar. Hendak buat novel macam Creative dan Alaf21. Kalau tidak hendak pun, tidak hendak buat macam novel Creative dan Alaf21!

Realiti dalam dunia bisnes adalah, survival budak-budak kecil tidak ada kaitannya dengan kejatuhan budak-budak besar. Tidak ada jaminan kalau budak besar jatuh, budak-budak kecil boleh naik!

Logik dunia bisnes bukan serupa dengan logik perlawanan bola - kalau satu pihak kalah, pihak yang satu lagi automatik menang.

Dulu ada orang berfikir, disebabkan adanya DBP, penerbit-penerbit kecil susah hendak naik sebab semua penulis yang bagus-agus menjadikan DBP pilihan pertama mereka. Akibatnya, kata mereka, penerbit-penerbit kecil hanya mendapat manuskrip berkualiti rendah, yang sudah ditolak oleh DBP, jadi bagaimana mereka dapat bersaing dengan DBP!

Lalu terdengar gesaan supaya DBP berhenti menerbitkan buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak. Kata mereka, buku-buku jenis itu sudah dapat diterbitkan oleh penerbit-penerbit swasta. Mereka yakin dengan cara itu penulis-penulis buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak yang bagus-bagus itu akan menghantar manuskrip mereka kepada penerbit-penerbit swasta. Dengan itu dapatlah mereka menaikkan bisnes masing-masing.

Maka DBP pun menutup jabatan yang menerbitkan buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak! Kononnya supaya DBP hanya menerbitkan buku-buku akademik sahaja kerana itu yang penerbit swasta tidak berdaya melakukannya.

Terbukti, selepas penswastaan DBP, penerbitan DBP jatuh merudum, tetapi kejatuhan DBP itu tidak pula menyebabkan penerbit-penerbit Melayu yang kecil-kecil tiba-tiba naik.

Apa yang kita ada sekarang? Buku akademik terbitan DBP tidak ada. Buku umum, remaja dan kanak-kanak yang kononnya akan dapat diterbitkan oleh penerbit-penerbit kecil itu pun tidak ada. Pengarang-pengarang yang dulu menulis untuk DBP itu juga berhenti menulis!

Menurut gosip, pada saat DBP diswastakan, nilai jualan buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak DBP tahun itu adalah RM28 juta! Saat ini, setiap tahun, berapakah royalti yang diterima oleh DBP daripada DAWAMA?

Penerbit-penerbit kecil dapat belajar daripada Creative dan Alaf21. Kenaikan Creative dan Alaf21 tidak ada kaitannya dengan kejatuhan DBP. Kedua-dua penerbit itu naik sewaktu DBP masih besar, masih menerbitkan sekitar 1000 judul setahun. Kedua-duanya menawarkan produk-produk yang tidak ditawarkan oleh DBP.

Jangan jadikan Creative dan Alaf21 hantu bisnes saudara. Survival saudara, sebagai budak-budak kecil, bergantung kepada keupayaan saudara menerbitkan bahan-bahan bacaan alternatif yang bermutu dan lain daripada apa yang ditawarkan oleh Creative dan Alaf21. Jangan terperangkap dalam pasir jerlus logik Creative dan Alaf21. Saudara perlu mencipta logik sendiri.

Sebagaimana pesan Nabi Yaakub kepada anak-anaknya yang akan pergi ke Kota Mesir, "Masuklah ikut pintu-pintu lain..."




2 Komen :

At 1:15 PM, Blogger Unsunghero Berkata ...

Puan...seperti dalam kisah 'Mr Law dan Buku Melayu', moral dalam kisah 'Budak Kecil lawan Budak Besar' juga barangkali tidak terfikir oleh kebanyakan kita. saya gembira kerana terjumpa Universiti Terbuka PTS puan kerana banyak mengajar perkara yang tak terfikir oleh saya dan mungkin kebanyakan orang di luar sana...

 
At 2:29 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Salam.

Pada awalnya, saya sering juga memikirkan tentang perkara sebegini. Namun, kini tidak lagi. Saya percaya dengan produk saya dan diiringi pakej lain seperti rekabentuk dan pemasaran, saya cuba membawa sesuatu kelainan ke dalam dunia buku Melayu khususnya dalam bidang sastera.
Mungkin mudah buat saya kerana jenamanya - A. Samad Said - itu sudah agak diketahui umum, tetapi di sinilah letaknya cabaran itu: Bagaimana menjual buku-buku karya Pak Samad? Ditambah pula dengan kata-kata seorang yang mengetuai satu "gergasi" yang diamanahkan untuk memelihara dan menyuburi bahasa & sastera negara, "Buku-buku Pak Samad & Usman Awang tak laku...please tell us if you know how to sell it...," saya tersenyum. Setelah sebegini lama diamanahkan, mereka masih tidak tahu bagaimana mahu menjual?
Saya dapat rasakan, satu revolusi sedang berlaku dalam dunia buku Melayu dengan lahirnya penerbit-penerbit kreatif yang kerdil ini. Gentar? Sentiasa sebenarnya, tetapi kegentaran itu hanya pada diri sendiri - gentar tidak tercapai cita.
Saya selalu ingatkan diri saya - Buatlah dan usahakanlah sebaik dan seikhlas mungkin. InsyaAllah jalan kita sentiasa akan tersuluh cahaya.
Saya berterima kasih dan harap pihak Puan Ainon akan sentiasa menghulur tangan membantu dan memimpin.

Nota: UE Enterprise Sdn. Bhd. - Lina Usman Awang - rakan kerdil baru kami ;)

 

Post a Comment

<< Home