Saturday, April 01, 2006

Gaya Kerja In-house

Entri ini ditulis untuk penulis-penulis baru.


Apa itu 'gaya kerja in-house'? Setiap syarikat penerbitan mempunyai cara masing-masing menjalankan bisnes mereka. Sebagai penulis, saudara perlu mencari maklumat berkenaan gaya kerja setiap penerbit yang ada kaitannya dengan karya saudara.


Sebagai contoh, Alaf21 mempunyai formulanya sendiri bagi menghasilkan novel-novel cinta yang 'hit' di pasaran. Formula itu digunakan bagi menilai dan mengedit manuskrip yang diterimanya. Ramai penulis terkenal tidak menyukai formula yang diamalkan oleh Alaf21 oleh itu mereka tidak mahu menghantar karya mereka kepada penerbit itu.


Walaupun formula Alaf21 itu tidak secocok dengan jiwa ramai penulis besar tetapi terbukti formula Alaf21 itu berjaya menghasilkan novel-novel yang laris di pasaran sehingga penulisnya menerima ratusan ribu wang royalti.


Jikalau saudara hendak menerbitkan novel saudara dengan Alaf21, lakukan dahulu kajian dengan membaca novel-novel Alaf21. Dari situ saudara akan mendapat gambaran ciri-ciri manuskrip yang dikehendaki oleh Alaf21.


Demikian juga jika saudara hendak menerbitkan karya saudara dengan Creative ataupun DBP. Baca novel-novel kedua-dua penerbit itu dahulu dan kaji ciri-ciri karya yang mereka terbitkan.


Jika saudara hendak menerbitkan novel saudara dengan PTS ONE dan PTS FORTUNA, saudara perlu menguasai teori dan teknik sastera Islami aliran surah Yusuf kerana PTS hanya menerima manuskrip yang ditulis mengggunakan teori itu.


Sesetengah penerbit bersikap reaktif, ertinya mereka menunggu penulis menghantarkan manuskrip kepada mereka, kemudian mereka akan menerima ataupun menolak manuskrip itu. DBP mengamalkan gaya kerja ini.


PTS dan KarnaDia adalah penerbit proaktif. Kedua-duanya merancang buku-buku yang hendak diterbitkan, kemudian mereka mencari penulis-penulisnya dan memberikan taklimat ataupun latihan kepada penulis-penulis itu tentang isi kandungan bagaimana yang mereka mahukan. Taklimat itu begitu detail sehingga jumlah muka surat buku yang dicari itu pun sudah ditetapkan dari awal lagi.


PTS mewajibkan semua bakal penulisnya menghadiri kursus-kursus penulisan yang diadakannya. Jika saudara pengarang besar sekalipun, saudara perlu hadir kursus disebabkan buku-buku terbitan PTS adalah ibarat kuih tempah.



1 Komen :

At 3:02 PM, Blogger Panaharjuna Berkata ...

Puan, semalam ada seorang kakak datang ke gerai pts. Katanya hendak menjadi penulis untuk PTS, lalu saya berikan terus hp puan.
Er!, jangan marah saya puan Ainon!, saya tak tau samada puan nak buat kursus ke lagi atau pun tidak.

 

Post a Comment

<< Home