Monday, June 05, 2006

Menjadi Penulis Sepenuh Masa

Strategi 5: Tiru Otak Orang Bisnes


Sebagai penulis, saudara perlu berfikir sebagai orang bisnes, baru saudara dapat hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa.


Saudara boleh meniru model bisnes para pembekal bunga segar ke hotel-hotel. Mereka bukan hanya membekalkan bunga-bunga segar untuk lobi dan kamar hotel sahaja. Mereka juga membekalkan khidmat menjaga pokok bunga dan rumput premis hotel, membekalkan baja dan racun serangga, membekalkan bunga untuk semua majlis dalam hotel, membekalkan buah-buahan untuk bilik VIP dan lain-lain yang berkaitan dengan pokok dan bunga.


Bagaimanakah saudara dapat meninggikan yuran projek buku khas sehingga RM30 ribu untuk satu projek buku? Saudara mungkin hairan bagaimana yuran projek penulisan buku kenang-kenangan korporat boleh jadi setinggi RM20 ribu ataupun RM30 ribu, ataupun lebih.


Ada beberapa strategi yang saudara boleh gunakan bagi mendapatkan yuran yang tinggi apabila saudara menjalankan projek-projek khas.


Strategi 4 dalam 1:
Kemukakan cadangan di mana saudara akan menyediakan bukan 1, tetapi 4 jenis bahan sekaligus. (Hahaha! Minda supplier memang begitu.... sentiasa mencari peluang membekalkan macam-macam komponen berkaitan.)


Saudara cuba yakinkan mengapa adalah lebih baik bagi pelanggan saudara apabila saudara melaksanakan tugas-tugas berikut:


(a) Edisi mewah: Saudara akan menyediakan manuskrip bagi buku khas edisi mewah. Manuskrip edisi mewah lebih tebal, yakni edisi kulit keras yang sesuai dijadikan edisi meja kopi. Lazimnya edisi mewah dicetak dalam jumlah terhad, dan dijadikan cenderamata istimewa dari pihak pengurusan.


(b) Edisi kecil: Saudara akan menyediakan manuskrip bagi edisi kecil buku khas. Edisi kecil ini diedarkan percuma kepada semua tetamu yang hadir dalam majlis pelancaran ataupun perasmian.


(c) Skrip video: Saudara akan menyediakan skrip bagi video projek khas. Skrip video banyak menggunakan bahan-bahan dan maklumat yang sama dengan kandungan buku khas. Ia adalah produk sampingan daripada projek buku khas.


(d) Salinan dokumen: Saudara akan melaksanakan khidmat sampingan iaitu membuat salinan fotokopi, salinan digital, dan lain-lain salinan buku-buku, tesis-tesis, dokumen-dokumen dan gambar-gambar yang ada kait-mengait dengan sejarah pelanggan. Bukankah dokumen-dokumen itu saudara jumpai sepanjang saudara menjalankan kajian. Ia berguna bagi disimpan dalam perpustakaan korporat pelanggan saudara.


Sambil menyelam minumlah air.... dan tangkap ikan duyung sekali......



********


Bahan untuk Menulis Projek Buku Khas


Katakanlah saudara sudah diberi kontrak menuliskan buku “100 Tahun Pos Malaysia”, bagaimanakah caranya saudara dapat mencari bahan-bahan sejarah Pos Malaysia, terutama gambar-gambar lama?


Berikut adalah sumber-sumber maklumat yang saudara dapat gunakan:


Pelanggan:
Pelanggan saudara adalah sumber yang paling penting bagi mendapatkan pelbagai gambar-gambar lama, rekod lama, fail lama dan seumpamanya. Pejabat pegawai perhubungan awam pelanggan saudara memang ada menyimpan bahan-bahan lama sebahagian daripada bahan-bahan itu.


Para Pesara: Bekas pekerja adalah sumber yang sangat penting. Mereka mungkin mempunyai album-album lama di mana di dalamnya terdapat gambar-gambar koleksi peribadi yang ada kaitan dengan majlis-majlis dan tokoh-tokoh lama dalam sejarah pelanggan saudara. Lazimnya para pesara mempunyai anggota keluarga dan kenalan yang masih bertugas dalam organisasi itu. Mereka dapat membanu saudara mencari pesara berkenaan.


Akhbar Lama:
Surat khabar adalah sumber yang penting bagi mendapatkan gambar-gambar dan potongan berita-berita lama tentang pelanggan saudara. Akhbar sentiasa melaporkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di jabatan-jabatan kerajaan.


Arkib:
Arkib negara adalah sumber yang berguna bagi mendapatkan maklumat dalam akhbar dan majalah-majalah lama.


Perpustakaan:
Pelanggan saudara mungkin mempunyai perpustakaan korporatnya sendiri. Perpustakaan Negara mungkin juga berguna.


Muzium:
Sesetengah organisasi besar mempunyai muzium dan arkib korporatnya sendiri.


Filem Negara: Filem Negara Malaysia mungkin ada menyimpan filem-filem lama yang mengandungi rakaman peristiwa-peristiwa penting yang ada kaitan dengan sejarah pelanggan saudara.


Universiti. Pensyarah universiti mungkin berguna bagi mencari maklumat sekiraya sejarah pelanggan saudara pernah dikaji sebagai tesis pelajar. Beliau dapat membantu saudara masuk ke dalam perpustakaan universiti, khususnya perpustakaan fakulti di mana tesis-tesis berkenaan disimpan.


Bagi memudahkan saudara mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak, minta pegawai perhubungan awam pelanggan saudara menulis surat rasmi yang memperkenalkan siapa saudara dan apa tujuan saudara memerlukan bantuan dan kerjasama pihak-pihak yang saudara akan lawati.


*********


Prosedur Menulis Manuskrip Projek Khas


Katakanlah surat dan kertas cadangan saudara bagi menuliskan manuskrip buku kenang-kenangan “100 Tahun Pos Malaysia” dengan yuran RM20 ribu itu sudah diterima dan dipersetujui oleh Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat Pos Malaysia, bagaimanakah tatacara saudara hendak menuliskan manuskrip itu?


Langkah 1:
Sediakan senarai isi kandungan buku itu. Bagi tiap-tiap bab, tuliskan sinopsis isi kandungan bab itu.


Langkah 2:
Serahkan dokumen itu kepada pelanggan saudara dan tunggu sehingga cadangan saudara itu dipersetujui dan diterima.


Langkah 3:
Dapatkan surat persetujuan, ataupun sekurang-kurangnya dapatkan tandatangan dan cop rasmi, pegawai yang menjaga projek saudara itu di atas salinan kertas cadangan saudara. Ini amat penting, sebab ia adalah dokumen legal, yang membuktikan perkara-perkara yang sudah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Dokumen itu juga diperlukan apabila saudara mengemukakan tuntutan bayaran yuran perhidmatan saudara.


Langkah 4:
Apabila manuskrip itu sudah siap draf pertama, hantar kepada pegawai yang menjaga projek saudara. Dapatkan feedback pegawai itu, apakah ada perkara-perkara yang belum memuaskan hatinya.


Langkah 5:
Minta pegawai itu mencatatkan isu-isu yang perlu ditokok-tambah ataupun diperbaiki di atas deraf pertama itu. Ini amat penting dilakukan.


Langkah 6:
Lakukan pembaikan dan tokok-tambah sebagaimana yang dikehendaki. Hantar deraf kedua kepada pegawai berkenaan bagi semakannya. Ulang langkah 5.


Langkah 7:
Ulang langkah 6 dan langkah 5. Hantar deraf ketiga, yakni draf final.


Langkah 8:
Dapatkan surat pengesahan bahawa deraf final sudah diterima dan dipersetujui oleh pegawai itu. Dapatkan tandatangan pegawai itu di atas salinan deraf final untuk simpanan saudara. Itu adalah bukti deraf manuskrip yang itulah yang sudah dipersetujui dan diterima olehnya secara rasmi. Jikalau besok timbul dolak-dalik birokrasi sewaktu saudara menagih bayaran, maka saudara mempunyai bukti sahih bagi membela kedudukan saudara.


********


Strategi 4: Tiru Cara Kerja Kontraktor


Penulis sepenuh masa perlu belajar daripada kontraktor bagaimana mereka mendapatkan projek-projek kerajaan. Ada dua cara mereka mendapatkan projek:


(1) Tender terbuka. Projek itu difikirkan oleh pegawai kerajaan, kemudian tender ditawarkan kepada kontraktor. Projek jenis ini sudah dirancang lama dan mahal-mahal nilainya. Projek penulisan tidak dibuat menggunakan prosedur ini.


(2) Tender tertutup.
Projek jenis ini kecil nilainya dan dapat dibayar menggunakan prosedur L.O. local order sahaja. Kontraktor boleh memikirkan projek yang mungkin diperlukan oleh pegawai kerajaan, kemudian kontraktor mengemukakan projek itu kepada pegawai tersebut, jika disetujui, projek itu diserahkan kepada kontraktor berkenaan. Projek penulisan termasuk dalam prosedur ini.


Sebagai penulis sepenuh masa, semua jabatan dan agensi kerajaan berpontensi menjadi pelanggan saudara bagi projek penulisan. Antara projek yang sesuai saudara fikirkan adalah projek buku kenang-kenangan.


Jenis-jenis buku kenang-kenangan:


1. Buku maklumat korporat. Semua kementerian dan agensi kerajaan menerbitkan buku maklumat masing-masing. Buku-buku itu diedarkan kepada orang awam yang memerlukannya dan juga dibekalkan kepada pejabat kedutaan di luar negara.


2. Buku sempena ulang tahun. Banyak agensi merayakan hari ulangtahun yang ke-10, ke-15, ke-20, ke-60, jubli perak, emas, platinum, ikut suka hati ketua pengarah masing-masing. Mereka memerlukan buku komemoratif yang diterbitkan sempena perayaan itu.


3. Buku sempena pelancaran kempen. Banyak kementerian dan agensi kerajaan melancarkan pelbagai kempen seperti kempen budi bahasa, kempen kitar semula, kempen derma darah, kempen keselamatan di jalanraya dan macam-macam lagi kempen.


4. Buku sempena kenaikan taraf. Banyak agensi dan institusi kerajaan dinaikkan tarafnya, sebagai contoh, daripada maktab menjadi universiti, daripada jabatan menjadi badan berkanun, daripada majlis menjadi lembaga.


5. Buku sempena penubuhan ataupun penswastaan. Dari waktu ke waktu kerajaan menubuhkan badan-badan baru. Apabila badan-badan itu dibuka secara rasmi, lazimnya akan diterbitkan buku kecil yang mengandungi maklumat berkenaan badan itu.


6. Buku korporat edisi baru. Semua kementerian dan agensi kerajaan mengalami perlbagai perkembangan dan perubahan oleh itu mereka perlu menggantikan buku-buku penerangan yang lama dengan yang baru disebabkan banyak maklumat yang sudah tidak betul lagi. Sebagai contoh, apabila menterinya berubah, mereka terpaksa menerbitkan edisi baru dengan gambar dan maklumat menteri baru.


7. Buku sempena pembukaan bangunan baru. Banyak agensi kerajaan berpindah ke kampus, kompleks dan bangunan baru milik agensi sendiri, yang bakal dirasmikan pembukaannya. Mereka memerlukan buku kenang-kenangan bagi majlis itu.


8. Buku persaraan. Sesetengah agensi kerajaan mempunyai dana khas bagi menerbitkan buku kenang-kenangan untuk ketua pengarah yang akan bersara.


Beginilah cara saudara mencari dan melaksanakan penulisan buku-buku kenang-kenangan:


a. Projek buku komemoratif dikendalikan oleh jabatan perhubungan awam perbadanan berkenaan. Berkenalan dan berkawanlah dengan pegawai-pegawai perhubungan awam. Mereka mempunyai banyak maklumat tentang pelbagai jadual perayaan organisasi masing-masing, iaitu (a) perayaan apa, dan (b) tahun bila dan bulan bila perayaaan itu dijalankan.


b. Kemukakan surat dan kertas cadangan projek di mana saudara menawarkan perkhidmatan menuliskan teks bagi buku komemoratif yang mereka mungkin berminat. Belajar teknik menulis surat dan kertas kerja yang betul.


c. Peruntukan kewangan bagi projek-projek perayaan disediakan dan dipohon oleh pegawai jabatan perhubungan awam. Kemukakan surat dan kertas cadangan saudara 2 tahun lebih awal sebab begitulah cara jabatan kerajaan bekerja!


**********


Strategi 3: Tiru Mamak Kedai Buku


Kedai buku Mamak menjual buku-buku dan gula-gula. Berapa sen sangatlah keuntungan daripada jualan gula-gula, tetapi Mamak tetap menjual gula-gula. Mengapa?


Keuntungan jualan gula-gula memang kecil, tidak cukup bagi membayar sewa kedai, ataupun gaji pembantu kedai. Tetapi keuntungan daripada jualan gula-gula itu sudah cukup bagi membayar bil-bil kecil seperti bil api, bil air dan seumpamanya. Bil-bil api dan bil air mesti dibayar tiap-tiap bulan, tidak boleh ditangguh-tangguh, kalau ditangguh, kena potong, kedai pun tidak dapat dibuka.


Apabila saudara hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa, tirulah cara mamak berfikir. Mereka membezakan dua jenis perolehan: (a) untung besar, (b) untung kecil. Untung besar digunakan bagi membayar bil-bil besar, manakala untung kecil digunakan bagi membayar bil-bil kecil.


Saudara juga memerlukan 2 jenis perolehan: (a) cek besar, (b) cek-cek kecil. Cek besar datang setahun sekali, yakni daripada royalti buku, sedangkan sementara menunggu datangnya royalti, setiap bulan saudara memerlukan wang bagi membayar keperluan harian.


Semasa saudara menulis buku, tulislah juga perkara-perkara lain yang mendatangkan wang cepat. Sumber-sumber cek kecil termasuklah:


1. Skrip pelbagai rancangan radio.
Berkawanlah dengan penerbit radio bagi mengetahui skrip-skrip yang diperlukan oleh penerbit. Apabila RTM mengadakan rumah terbuka, pergilah, dan berkenalan dengan pegawai-pegawai RTM yang bertugas.


2. Skrip filem, drama TV dan rancangan dokumentari.
Banyak video dokumentari diterbitkan oleh penerbit swasta, oleh itu kembangkan network persahabatan saudara supaya termasuk mereka yang bertugas dengan penerbit-penerbit swasta. Masuk pelbagai kursus yang dianjurkan oleh FINAS, dan ambil peluang berkenalan dengan tokoh-tokoh industri itu yang datang memberi ceramah dan bimbingan. Masuk kursus jurukamera filem pun berguna, sebab dengan bersahabat dengan jurukamera yang menjadi pembimbing kursus, saudara berpeluang mendapatkan banyak maklumat.


3. Artikel untuk pelbagai akhbar dan majalah.
Beli semua akhbar dan semua majalah yang dijual. Analisis kandungan akhbar-akhbar dan majalah-majalah itu. Dari situ saudara tahu apa jenis-jenis artikel yang diterbitkan dan pilihlah topik-topik yang saudara dapat bekalkan.


4. Skrip buku dan video projek khas.
Projek khas memang banyak, saudara perlu mengusulkan projek-projek khas kepada klien berpotensi. Katakanlah, Pos Malaysia akan menyambut hari ulang tahun ke-100 tahun depan. Pos Malaysia mungkin hendak menerbitkan buku kenang-kenangan khas, oleh itu mereka memerlukan penulis yang dapat menuliskan sejarah Pos Malaysia. Projek jenis ini lazimnya menyediakan bayaran honorarium yang lumayan.


5. Jadi stringer akhbar.
Saudara boleh menjadi pembekal berita-berita tempatan kepada akhbar-akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.


6. Jadi penterjemah kepada syarikat PR (public relations).
Syarikat-syarikat PR menyediakan laporan-laporan tahunan korporat yang mesti diterbitkan dalam edisi Bahasa Melayunya juga. Saudara boleh menterjemah untuk mereka.


7. Jadi penterjemah kepada syarikat periklanan. Syarikat-syarikat periklanan menyediakan bahan-bahan seperti brosur, manual produk dan lain-lain yang perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.


***********


Strategi 2: Banyakkan Sumber Cek Kecil


Apabila saudara hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa, saudara memerlukan dua jenis pendapatan: (a) honorarium, yakni cek-cek kecil, dan (b) royalti, yakni cek besar.


Honorarium adalah bayaran saguhati yang saudara terima satu kali sahaja bagi penulisan saudara. Saguhati dibayar oleh suratkhabar, majalah, radio dan penganjur seminar.


Bayaran saguhati oleh RTM, DBP, Berita Harian (BH) dan Utusan Malaysia (UM), JAKIM, tidak melibatkan penjualan hakcipta karya saudara. Amalan lazim adalah, akhbar memegang hakcipta artikel saudara selama 1 hari sahaja, iaitu hari artikel saudara diterbitkan, manakala majalah memegang hakcipta saudara selama 1 bulan sahaja.


Ingat
, sebelum saudara menghantar artikel kepada akhbar dan majalah terbitan mana-mana syarikat lain, siasat dahulu syarat yang dikenakan oleh syarikat itu. (Nota kepada sahabat saya, En. Norden Mohamed, Pengurus Besar Alaf21, bolehkah kita tahu syarat yang dikenakan oleh akhbar-akhbar dan majalah-majalah terbitan Kumpulan Karangkraf? Terima kasih.)


Walaupun cek honorarium kecil nilainya, saudara memerlukan bayaran pelbagai saguhati kerana ia dibayar cepat, oleh itu saudara dapat menggunakan wang itu untuk menampung belanja hidup harian saudara.


Baca buku “BUAT DUIT DENGAN MENULIS” oleh Jeniri Amir, terbitan PTS. Ini adalah buku terbaik yang memberikan tip-tip praktikal bagaimana cara menulis artikel untuk akhbar dan majalah. Kekuatan buku ini adalah pada banyaknya contoh-contoh yang diberikannya.


Jeniri Amir adalah penulis artikel yang paling berjaya daripada sudut perolehan. Beliau sendiri memperoleh pendapatan bulanan antara RM2 hingga RM3 ribu sebulan daripada pelbagai artikel akhbar dan majalah yang ditulisnya.


Saudara jangan bergantung hidup kepada cek-cek honorarium kerana ia dibayar sekali sahaja. Ini bermakna saudara tidak mempunyai sumber pendapatan ulangan bagi jangka masa panjang.


Artikel dan bahan-bahan yang saudara terbitkan dengan akhbar BH dan UM, JAKIM dan RTM dapat saudara olah semula dan diterbitkan sebagai buku.


Ingat! Jangan tulis artikel dengan harapan artikel-artikel itu dapat dikumpulkan menjadi buku. Penerbit komersial tidak mahu buku jenis ini sebab pembeli buku tidak suka membeli buku jenis ini.


Sebaliknya, fikirkan sebuah buku yang hendak ditulis, kemudian tulis buku itu, di mana bahagian-bahagian buku itu dapat diterbitkan sebagai artikel di akhbar dan majalah.


Blog saya ini adalah contoh bagaimana saya sedang menulis 2 buah buku serentak iaitu (a) buku PANDUAN MENJADI PENGARANG, dan (b) buku PANDUAN MENULIS NOVEL ISLAMI, tetapi sebelum buku-buku ini terbit, bahagian-bahagian yang sudah saya tulis dapat diterbitkan sebagai artikel.


*******



Strategi 1: Tiru Penyanyi


Mungkinkah saudara hidup selesa dengan menjadi penulis sepenuh masa? Ada suatu perkara yang penulis dapat belajar daripada bagaimana para penynanyi hidup dengan menyanyi sepenuh masa.


Pada suatu masa dahulu, tidak ada penyanyi yang dapat hidup selesa dengan menyanyi sepenuh masa. Hari ini keadaan itu sudah berubah. Industri hiburan sudah membolehkan ramai penyanyi hidup dengan bakatnya.


Ramai orang yang bukan penyanyi tidak mempunyai maklumat bagaimana para penyanyi hidup dan dari mana mereka mendapat sumber-sumber pendapatan. Berikut adalah sumber pendapatan penyanyi:

  1. Royalti daripada lagu-lagu yang mereka rakamkan.

  2. Honororium daripada pelbagai show pentas di mana mereka tampil menyanyi.

  3. Royalti daripada penampilan wajah mereka dalam pelbagai media iklan dan pelaris produk.

  4. Honorarium di mana mereka menjadi duta promosi pelbagai produk.

  5. Honorarium daripada kontrak menyanyi di kelab-kelab.

  6. Honorarium daripada majlis di mana mereka tampil sebagai crowd-puller dan penyeri majlis.

  7. Honorarium berlakon dalam teater, filem ataupun siri TV.

  8. Honorarium daripada pelbagai ceramah yang mereka sampaikan.

  9. Royalti daripada nama yang dilesenkan kepada buku-buku yang ditulis oleh orang lain.

  10. Honorarium daripada pelbagai endorsement yang mereka berikan kepada pelbagai produk.

  11. Royalti daripada senikata lagu yang mereka cipta.

  12. Royalti daripada lagu-lagu yang mereka cipta.

  13. Honorarium daripada memainkan alat muzik dalam lagu yang dirakamkan.

  14. Honorarium daripada menyanyikan lagu-lagu tema iklan, tema kempen dan seumpamanya.

  15. Honorarium daripada menjadi juruacara majlis.

  16. Honorarium daripada menjadi penyampai program TV.

  17. Honorarium daripada menulis skrip pelbagai program TV.

  18. Pendapatan daripada pelaburan dan bisnes sampingan.


Apabila saudara merancang menjadi penulis sepenuh masa, rancang supaya saudara mempunyai banyak sumber pendapatan. Banyak peluang pendapatan datang daripada aktiviti yang memerlukan bakat menulis.



14 Komen :

At 2:57 PM, Blogger Panaharjuna Berkata ...

Cek kecil pun, sampai sembilan bulan baru dapat, baik tulis novel terus...Serik dah aku!.

 
At 3:53 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Panah, PTSkah yang menyerikkan saudara?

 
At 4:19 PM, Blogger Unknown Berkata ...

Puan Ainon,

Tulis artikel dengan niat untuk terbitkan buku? Bagus idea tu! Terima kasih

 
At 5:24 PM, Blogger Panaharjuna Berkata ...

Oh sudah tentu tidak!, ini adalah kisah pengalaman saya sebelum datang ke PTS, tetapi tidak perlulah saya sebutkan syarikat mana...

 
At 6:48 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Panah, tulislah nama syarikat itu supaya sahabat2 sdr yang lain tidak terkena dan serik macam saudara.... (mmm... mujur bukan PTS!)

 
At 12:19 AM, Blogger Wan A. Rafar Berkata ...

Saya sudah baca buku Jeniri Amir tu. Memang menarik dan mengasyikkan. Banyak tip dan contoh yang bermanfaat untuk penulis.

 
At 5:32 AM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Sdr Wan A. Rafar,

Buku Jeniri Amir itu tebal dan mahal tetapi sudah diulangcetak!

 
At 7:39 AM, Blogger Nisah Haji Haron Berkata ...

Puan Ainon,
Saya sokong saranan supaya menulis dalam pelbagai genre kalau mahu jadi penulis sepenuh masa. Buat masa ini, itu juga yang saya lakukan, hinggakan saya sudah menghampiri untuk menjadi penulis sepenuh masa (walaupun sekarang ini baru 3/4 masa).

Lagi satu, penulis kena rajin cari peluang. Jangan lihat pada satu-satu majalah sahaja. Di Malaysia kini ada banyak majalah yang mungkin sesuai dan juga mencari gaya penulisan kita. Jadi kena pandai padankan. Mencari wadah penerbitan juga seperti mencari jodoh. Kalau tak padan, nanti tidak bertahan lama.

Saya juga melihat taktik ini sebagai strategi jangka panjang dan strategi jangka pendek jika mahu hidup dengan menulis.

Sekian, tumpang lalu.

ikhlas,
Nisah Hj Haron

 
At 10:48 AM, Blogger rastom Berkata ...

syarahan puan ainon sangat menarik! saya banyak belajar. dah lama mengharap cek besar, sampai cek kecil langsungng tak pandang.

 
At 12:51 PM, Blogger Faisal Nordin Berkata ...

kena rajin cari lubang freelancing :).sebab tu dinamakan freelance,tak terikat dengan mana-mana co. lagi

 
At 3:58 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Tuan Rastom,

Hehehe!.... geli hati saya membaca komen tuan.

Saya ketawa sebab kesilapan tidak pandang cek-cek kecil adalah kesilapan yang kita semua pernah lakukan. Maklumlah, sebagai seniman, jiwa kita idealistik.... Apabila hendak buat apa-apa, kita hendak buat yang besar-besar sahaja.... yang juta-juta.... sudah melepek pun masih tidak mahu pandang cek-cek kecil!

Itu tjerita doeloe-doeloe.....

 
At 3:00 PM, Blogger Zamri Mohamad Berkata ...

Alhamdulillah, entri kali ini memang membuka mata saya besar-besar. Sekarang saya hendak buat benda baru pula, surat khabar sudah, majalah sudah sekarang skrip dan lain-lain pula...

 
At 4:52 PM, Blogger Faizul bin Kamaruddin bin A. Manan bin KH Bendar Berkata ...

assalamualaikum

 
At 2:43 AM, Anonymous Anonymous Berkata ...

Baru-baru ini saya timbul minat untuk menulis artikel dan dijual melalui internet sebagai pendapatan sampingan.

Pada pendapat Pn Ainon, bolehkah ini dilakukan? Menambah pendapatan melalui penulisan artikel berbentuk penerangan teknikal mudah seperti "bagaimana caranya untuk..." dan dijual melalui internet?

Satu lagi, bolehkah saya menjual artikel setebal 1 hingga 3 muka surat seperti ini? (maaf kerana letak link sebagai contoh)http://www.matieuonline.com/artikel/dua-kembar-yang-menggegarkan-dunia.html

atau

http://www.matieuonline.com/8-langkah.html

sekali lagi minta maaf kerana mempamerkan penulisan artikel yang kurang matang sebab saya masih baru belajar...

mungkin Pn Ainon boleh memberi tips-tips penulisan artikel yang baik pula selepas ini? hehe.

 

Post a Comment

<< Home