Wednesday, October 11, 2006

Dakwah dalam Novel: Prinsip Surah Yusuf

Mengikut teori sastera konvensional, penilaian dilakukan oleh manusia berdasarkan kayu-kayu ukur, yakni teori-teori sastera, ciptaan intelek manusia. Justeru sesebuah karya itu dikatakan karya sastera yang bermutu disebabkan ada individu-individu yang mengatakan begitu berdasarkan kayu ukur yang mereka cipta dan digunakan bagi menilai karya itu.


Apabila berdiskusi tentang novel Islami, menurut kayu ukur sasterawan aliran konvensional, mesej dakwah dalam novel tidak sepatutnya dituliskan dengan terang dan jelas. Sebaliknya mesej dakwah itu perlu disampaikan secara halus, samar-samar, dan terselindung di sebalik simbol-simbol. Justeru mereka menolak kehadiran petikan ayat-ayat Quran dan hadith dalam novel Islami.


Pada penilaian sasterawan konvensional, sastera itu lain, kitab agama itu lain. Disebabkan pandangan sebegitu, novel yang mengandungi unsur-unsur dakwah yang jelas dan terang diberi penilaian negatif, dianggap tidak bernilai sastera, tidak indah, malah dikategorikan ‘bukan sastera’.


Pada pandangan sasterawan konvensional, novel Islami hendaklah mendahulukan unsur-usur sasteranya, bukan unsur-unsur dakwahnya. Dengan demikian barulah novel itu dapat diterima sebagai bernilai sastera.


Justeru, para pendukung teori-teori sastera konvensional berpegang pada pandangan bahawa novel Islami yang berkualiti adalah novel yang unsur-unsur dakwahnya lemah, cair, kelam, ambigus.


Mereka mengemukakan contoh mesej dakwah yang halus, yang simbolik, justeru dikatakan indah, adalah seperti yang terdapat dalam novel The Old Man and the Sea karya Hemmingway. Dalam novel itu pada hujung cerita, orang tua itu memikul tiang layar perahunya naik ke pantai dengan matahari petang di belakangnya, lalu bayang-bayang yang jatuh ke atas pasir pantai serupa dengan gambar salib.


Fenomena novel Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman al-Sherazy yang terjual lebih 400 ribu naskhah di Indonesia membuktikan peminat sastera mahukan mesej dakwah yang terang dan jelas.


Angka jualan AAC adalah bukti bahawa pembaca sastera mahukan petikan ayat-ayat Quran dan hadith, mahukan dialog yang dengan jelas mengajak orang mencegah kejahatan dan melakukan kebaikan, yakni unsur-unsur yang ditolak oleh pemikir-pemikir sastera konvensional.


Dalam surah Yusuf, mesej dakwah dihadirkan dengan jelas dan terang, baik dalam ayat-ayat naratif mahupun dalam ayat-ayat dialog. Implikasinya adalah di sisi Tuhan, sesebuah kisah yang indah adalah kisah di mana mesej-mesej dakwahnya ditulis dengan jelas dan terang.


Justeru, apabila menilai apakah sesebuah novel itu Islami ataupun bukan Islami, maka kayu ukur yang digunakan seharusnya adalah ciptaan Tuhan, bukan kayu ukur ciptaan manusia.


Isu ini relevan dengan isu dasar dan senarai kriteria yang digunakan oleh panel hakim dalam pelbagai peraduan penulisan sastera Islami.


Nota: Ayat-ayat Cinta sudah diterbitkan semula di Malaysia dan boleh dibeli di semua kedai buku utama.

.



3 Komen :

At 11:28 AM, Blogger Abang Long Berkata ...

Salam hormat buat Puan.
Secara peribadi, kekadang saya tertanya - tanya, kenapa unsur dakwah dalam novel umpamanya, harus digarap secara halus dan tersembunyi ?, tidak bolehkah unsur dakwah dan nasihat kepada kebenaran itu disebut secara jelas ?.

 
At 4:04 PM, Blogger Unknown Berkata ...

Assalamualaikum Puan,
Mohon dibetulkan, manusia selagi ia dipanggil begitu, selagi itu kemampuan dan kebolehannya akan berbeza. Ada yang amat mahir oleh kebijaksanaannya dan ada yang perlukan masa untuk memahami sesuatu perkara.Cuma satu sahaja kurangnya, kepekaan setiap individu bertugas menyampaikan yang baik biar dengan senyuman,ia jarang diberi keutamaan kerana manusia saling tidak mengenali...hingga mendorong hanya yang berkelayakan sahaja yang berhak menyampaikan seruan, sedangkan kerapuhan ranting
menurut musim bergilir ganti kuak angin yang menerpa menggugur tangkai memisah ranting dari dahan.
Manusia secara kebiasaannya memang tidak sama biarpun serupa tetapi atas dasar mentaliti cenderung arah dari asuh budi didik oleh intelek, kasta dan status terjana dari ilmu tidak upaya melerai sebatian air dan minyak biarpun kajian sehalus virus mampu diamati di bawah hidroskop.Di dalam dakwah permintaan kita adalah untuk mendapat 'mardhatillah'kerana bekalan perlu sebagai bukti. Addeen ini waris yang tidak diperdagangkan. Sayang malang yang panjang... bila kita sentiasa akur bawah tekanan.Namun keliru yang ada usah diperpanjangkan kerana jelas Allah tidak akan mengubah nasib kita sehinggalah kita berusaha mengubahnya.
Pesan Kekasih Allah SAW, "Insan yang bergaul dengan ramai kenalan dengan sabar menghadapi perbuatan yang menyakiti dirinya adalah lebih baik dari mereka yang tidak bergaul(memencil diri)namun tidak sabar menghadapi perbuatan yang menyakiti mereka...lihat saudara kita di Tebing Barat di Gazza sesudah di Lebanon...(saya beri contoh ini sebab saya sedang berada di rantau sebelah sini)
Usah di politikkan ya Puan Sifu.

 
At 11:23 PM, Blogger ufukhati Berkata ...

Puan Ainon,

1. Rupanya ada lagi sambungan Prinsip Surah Yusuf. Sebelum ini saya sudah membaca kira-kira 68 masukan/entri tentang prinsip itu dalam blog Puan.

2. Saya sudah habis membaca novel AAC terbitan Indonesia sejak bulan lepas lagi. Memang unsur dakwahnya ada yang terang-terang. Jika Puan mahu melihat 100% prinsip Surah Yusuf dalam novel ini, tidak boleh juga kerana unsur-unsur yang Puan gariskan itu tidaklah semuanya menepati (dalam novel ini). Umpamanya soal dialog (pekata), soal watak dll. Namun bagi saya ia boleh dikatakan novel bernafas Islam yang berjaya.

 

Post a Comment

<< Home