Thursday, October 05, 2006

Surah Yusuf dan Logo HALAL

Seorang pemerhati bertanya apakah sesebuah karya yang tidak banyak menggunakan dialog, sebaliknya yang banyak menggunakan ayat-ayat naratif, tidak dapat mencapai taraf karya sastera yang indah dan yang evergreen?


Inilah respon kita:

Kita berpandangan, isu menilai apakah sesuatu karya itu indah ataupun kurang indah, perkara itu bukanlah objektif teori sastera Islami. Kita serahkan penilaian kepada Tuhan, sebab menilai adalah kerja Tuhan. Penilaian tentang indah ataupun buruk dilakukan ke atas hasil kerja, sedangkan yang lebih penting adalah usaha.

Dari sudut ideologi, kita meyakini, sesuatu karya yang dihasilkan dengan berpandukan ciri-ciri yang ada pada surah Yusuf, maka pastilah ia akan memiliki ciri-ciri kisah yang indah dan evergreen.

Kita perlu mencipta teori sastera disebabkan teori berfungsi sebagai alat kerja bagi menghasilkan karya sastera yang bermutu, sebagaimana kita perlu mencipta berus yang baik bagi menghasilkan lukisan yang bermutu.

Objektif teori sastera Islami adalah mencipta alat-alat kerja bagi menghasilkan karya yang syariah-compliant, yakni karya yang mematuhi undang-undang Tuhan. Maka boleh sahaja ciri-ciri itu dijadikan kayu ukur keindahan sesebuah karya. Semakin banyak karya itu memiliki ciri-ciri surah Yusuf, semakin tinggi ranking yang dapat diberikan kepada keindahan karya itu.

Sesebuah buku sastera seharusnya layak menggunakan logo HALAL apabila setiap ayat di dalamnya dapat disahkan 100%, dari kulit depan sehingga kulit belakang, semuanya mematuhi undang-undang Tuhan. Logo HALAL sangat berguna kepada ibu bapa dan sekolah sewaktu memilih buku-buku bagi bacaan anak-anak dan pelajar.

Dalam pekerjaan mencipta karya yang syariah-compliant itu, di manakah hendak dicari senarai hukum-hakam, yang dapat dijadikan garis panduan sewaktu hendak menentukan ayat-ayat yang diizinkan dan yang dilarang, yang perlu dipatuhi oleh karyawan.

Berdasarkan nas-nas yang mana hendak dikatakan bahawa sesuatu tema itu boleh digarap dalam sesebuah karya, manakala tema yang bagaimana pula yang tidak boleh? Ataupun bahawa ayat-ayat yang begini boleh dituliskan, manakala ayat-ayat yang begitu tidak boleh dituliskan?

Teori dan teknik surah Yusuf yang sedang diusahakan ini adalah suatu benda ciptaan manusia, yang dibangunkan dengan cara menganalisis perbendaharaan kata, struktur ayat dan struktur teks surah Yusuf itu sendiri.

Teori surah Yusuf adalah teori dan teknik-teknik bagaimana hendak menghasilkan karya sastera yang INDAH. Bagi menghasilkan karya-karya lain, spy-thriller ataupun novel perang umpamanya, perlu dibangunkan teori dan teknik-teknik lain pula, berdasarkan surah-surah lain pula.

Kita menunggu teori-teori dan teknik-teknik lain yang menyenaraikan ciri-ciri teknikal pelbagai genre yang syariah-compliant. Hasil daripada kepelbagaian hasil usaha itu nanti dapat menghasilkan alat-alat kerja yang praktikal bagi kegunaan karyawan Islami.

Tentang jaminan apakah dengan menggunakan teori dan teknik Surah Yusuf kita dapat menghasilkan karya yang evergreen, respon kita adalah: Tidak ada yang dapat dijamin oleh manusia, mahupun oleh teori ciptaan manusia.

Ini isu gabungan antara bakat, pengetahuan dan teknik. Teknik sahaja tidak cukup bagi menghasilkan karya yang indah. Ibarat pelukis yang hanya memiliki berus yang baik, sedangkan bakatnya rendah dan ilmunya sedikit, mana mungkin dia dapat menghasilkan lukisan yang setaraf Monalisa.




1 Komen :

At 10:40 PM, Blogger ufukhati Berkata ...

Puan Ainon,

Saya mencatat secara ringkas isi Sastera Islami (acuan Surah Yusuf)yang Puan paparkan dalam blog Puan kira-kira 68 entri. [Mata saya berinar-pinar hendak menyudahkan catatan sebanyak itu, kerana satu-satu entri itu agak panjang.]

Saya rasa ada beberapa tempat perlu dilonggarkan sedikit "syaratnya". Bagaimanapun tujuan merangka konsep seperti itu cukup baik (kerana ia berunsur Islam).

Saya tidak bercadang mengulas di sini. Cuma syabas atas ketekunan Puan itu dan Puan meletakkan pancang untuk "mana-mana burung singgah" dan "mengintai jalan yang hendak dituju".

Terima kasih.

 

Post a Comment

<< Home