Sunday, October 01, 2006

Mengedar Buku ke Kedai Buku Kecil

Adakah saudara baru belajar menjadi penerbit? Adakah saudara memilih-milih kepada siapa saudara akan bekalkan buku-buku yang saudara terbitkan, ataupun saudara main hantar sahaja kepada semua kedai yang berminat, termasuk kedai-kedai kecil?

Ada dua jenis kedai buku kecil:

(a) Kedai buku milik peniaga individu.

(b) Kedai buku cawangan rangkaian kedai buku besar.

Mengedar buku ke kedai-kedai buku milik individu adalah berisiko tinggi, disebabkan oleh kesukaran mengutip hutang. Ini bukan bermakna pemilik kedai buku indie adalah culas membayar hutang, tidak!

Isu kutip hutang ini lebih real apabila kedai-kedai indie itu berada di luar Lembah Kelang.

Faktor yang menyebabkan susah mengutip hutang daripada kedai buku indie adalah akaun mereka kecil, yakni pembelian mereka kecil.

Kos menghantar salesman pergi mengutip hutang menyebabkan saudara berdepan dengan fenomena harga membeli rantai lebih mahal daripada beruk! Hutang yang hendak dikutip cuma RM200. Kos menghantar salesman RM300.

Jika penerbit menggunakan telefon bagi mengutip hutang, kos panggilan telefon lama-lama boleh naik sampai RM300, sedangkan hutang masih belum dapat dikutip.

Tetapi mengapakah begitu sukar mengutip hutang daripada kedai-kedai buku indie? Puncanya adalah budaya kerja pekedai indie.

Tuan punya kedai buku indie lazimnya jarang duduk dalam kedainya. Yang ada dalam kedai mungkin isterinya, mungkin adiknya, mungkin pekerjanya.

Buku cek pula ikut berjalan dengan tuan punya kedai. Kalau beliau tidak ada dalam kedai, salesman balik dengan tangan kosong, sedangkan elaun minyak dan perjalanannya tetap dibayar.

Penerbit besar memang mempunyai prejudis tebal kepada kedai-kedai buku indie. Prejudis itulah yang menyebabkan mereka tidak berminat hendak membekalkan buku secara direct kepada kedai-kedai indie.

Sebaliknya mereka menumpukan bisnes kepada pengedar-pengedar besar sahaja yang majoritinya beroperasi dari Lembah Kelang. Biar pengedar besar yang membekalkan buku kepada kedai-kedai indie.

Ini berbeza sekali dengan kedai-kedai buku besar yang diurus menggunakan budaya korporat. Penerbit tidak perlu terhegeh-hegeh pergi menagih hutang kerana pengurusan gaya korporat lebih efisien sehingga membolehkan setiap bulan cek-cek pembayaran datang sendiri.

Data kewangan PTS menunjukkan 87% hutang yang gagal dikutip selepas tempoh 90 hari datang daripada kedai-kedai buku milik individu!

Angka 13% itu nampaknya kecil, tetapi jika 13% daripada jumlah RM7 juta, itu bukan jumlah kecil. Sedangkan margin keuntungan bagi setiap tajuk hanya 3%!

Angka 13% itu, jika dialami oleh penerbit kecil, ia mencekik cashflow, dan menyebabkan penerbit gulung tikar.

Isu gaya pengurusan kedai-kedai indie yang tidak efisien menyebabkan semua pihak rugi:

(a) Penerbit tidak dapat meluaskan pengedaran buku-buku yang diterbitkannya.

Ini yang dialami oleh PTS di mana buku-buku ilmu PTS tidak dapat diedarkan sampai ke pekan-pekan kecil. Justeru PTS hilang peluang bisnes. Permintaan bagi buku-buku PTS ada di pekan-pekan kecil, tetapi tidak dapat dimanfaatkan.

Puncanya, pengedar buku Melayu yang besar-besar (baca, pengedar Mamak) hanya berminat mengedarkan buku-buku novel cinta dan buku ulangkaji peperiksaan! Mereka tidak mempunyai agenda perjuangan membangunkan industri buku ilmu dan memandaikan bangsa.

(b) Pembaca di luar kawasan bandar-bandar utama tidak mendapat bekalan buku-buku bermutu.

(c) Kedai-kedai buku indie tidak dapat membuka akaun dengan penerbit, oleh itu mereka tidak dapat menikmati diskaun yang tinggi.

Tidak ada penerbit yang tidak mahu mengedarkan buku-bukunya dengan seluas-luasnya. Isunya di sini bukan isu penerbit tidak mahu bukunya laku lebih banyak. Isunya adalah pengurusan risiko. Itu sahaja.

Situasi begini menjejaskan segelintir pekedai indie yang baik, yang memang hendak berniaga dalam bidang retailing buku.

Disebabkan apa yang berlaku dengan kedai-kedai yang tidak berdisplin dengan pembayaran hutang-hutangnya, kedai-kedai indie yang baik pun sukar hendak membuka akaun dengan penerbit besar.


.