Wednesday, September 27, 2006

Lanskap Bisnes Novel Melayu

Adakah saudara berminat menceburi bisnes penerbitan buku sastera? Marilah kita lihat senario dan lanskap sektor ini dalam pasaran terbuka hari ini.

Apakah maksud 'pasaran terbuka'? Maksudnya, buku sastera apa yang ada dalam kedai-kedai buku.

Dari sudut penerbitan buku-buku sastera, para pemainnya adalah:

(1) Dewan Bahasa dan Pustaka adalah pemain utama.

DBP sudah menerbitkan beratus-ratus judul buku sastera. Tetapi tidak ada seorang pun pegawai DBP yang tahu jumlah sebenar karya sastera yang sudah diterbitkannya.

Di kalangan penulis sastera ada semacam kepercayaan, jika bukunya diterbitkan oleh DBP, maka bukunya itu berkualiti sastera, dan dia sudah bertaraf sasterawan. Justeru DBP adalah pilihan pertama penulis yang bercita-cita menjadi sasterawan.

Buku-buku terbitan DBP tidak dipamerkan di dalam rangkaian kedai-kedai buku elit, malah di kedai-kedai buku indie pun tidak. DBP juga tidak mempunyai komitmen mempromosi, baik penulis-penulisnya, mahupun buku-buku mereka yang diterbitkannya.

(2) Creative Enterprise

Creative menerbitkan novel-novel bernilai sastera dan juga novel popular. Nama-nama yang diterbitkan oleh DBP juga terdapat dalam senarai para penulis Creative. Kehadiran novel-novel Creative di pasaran adalah baik disebabkan penerbit itu sudah menerbitkan ratusan judul.

(3) Utusan

Penerbit Utusan menganjurkan Hadiah Sastera Utusan - Public Bank tahunan. Ini membolehkan Utusan menjadi penerbit novel bermutu sastera. Pada waktu yang sama Utusan juga cuba menerbitkan novel cinta popular.

Novel-novel terbitan Utusan ada di dalam kedai-kedai buku tetapi tidak menonjol, malah hanya terselit-selit antara buku-buku lain.

Dua faktor utama situasi ini adalah (a) program penerbitan Utusan yang belum berjaya melambakkan ratusan judul ke dalam kedai, sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh Creative dan Alaf, dan (b) customer-service Utusan kepada pekedai yang tidak efisien.

(4) ALAF21

Alaf21 terkenal sebagai penerbit novel cinta N. 1 negara. Jumlah perolehan Alaf sekarang adalah sekitar RM15 juta setahun.

Alaf memberikan layanan terbaik kepada para pengarangnya daripada sudut pembayaran royalti, di mana hanya Alaf membuat pembayaran 4 kali setahun!

Sebelum ini Alaf secara konsisten menerbitkan 2 novel sebulan, tetapi akhir-akhir ini jumlah itu dinaikkan kepada 3 buah sebulan.

Alaf juga sudah melancarkan program menerbitkan semula karya-karya sasterawan ternama, bermula dengan Shahnon Ahmad dan Khadijah Hashim.

(5) PTS

Penerbit PTS adalah pemain utama dalam sektor sastera remaja dan kanak-kanak kontemporari. Keistimewaan buku-buku PTS adalah latar belakang para penulisnya yang majoritinya adalah pemegang ijazah, termasuk antara mereka adalah doktor, jurutera, akauntan, peguam, malah pegawai kanan kerajaan, pensyarah maktab dan profesor madya pun ada.

Sebelum ini pemain utama sektor sastera remaja adalah DBP. Sumbangan negatif Dato' A Aziz Deraman sewaktu beliau menjadi Ketua Pengarah DBP adalah menutup Bahagian Buku Remaja dan Bahagian Buku Akademik (!). Hanya pada 2006, di bawah kepimpinan Dato' Dr. Firdaus Abdullah, bahagian itu dibuka semula di bawah nama PURNAMA. Kekosongan yang diakibatkan oleh tindakan (pandai) Dato' A Aziz Deraman itulah yang diisi oleh PTS.

Mulai Julai 2006, PTS ikut masuk sektor novel dewasa dengan memperkenalkan siri novel jibunsyi ke dalam pasaran di bawah PTS FORTUNA. Dalam program ini PTS akan menerbitkan 2 buah jibunsyi setiap bulan sehingga sektor ini berkembang, mapan sebagai suatu genre, dan mempunyai peminatnya sendiri.

Program penerbitan jibunsyi PTS akan berterusan sehingga tahun 2008 dengan jumlah judul antara 50 - 70 buah. Dengan jumlah sebanyak itu barulah PTS mempunyai back-list yang cukup sebagai sumber perolehan daripada aktiviti ulangcetak yang berpanjangan. Selepas itu barulah PTS akan meneroka genre-genre novel moden yang lain.

Satu lagi keistimewaan novel-novel PTS adalah ia ditulis dengan mengaplikasikan teori dan teknik sastera Islami aliran surah Yusuf oleh seangkatan penulis baru yang dilahirkan melalui siri kursus PTS.

Pada tahun 2007, PTS FORTUNA akan melancarkan siri sastera klasiknya sendiri. (Tunggu, ya! Ada kejutan.)

(6) Lain-lain penerbit

Dalam pasaran novel cinta dan novel popular terdapat pemain-pemain kecil yang ditubuhkan oleh penulis novel-novel cinta seperti Media Intens milik Fauziah Ashari, KarnaDya milik Aina Emir, NB Kara milik Norhayati Berahim, Jemari Seni milik Noor Suraya, dan terbaru Nylea milik Liana Afiera Malik, masing-masing menerbitkan karya mereka sendiri, dengan kekecualian KarnaDya yang menerbitkan karya-karya terbaru Aina Emir tetapi akan memasuki sektor novel remaja.

Satu lagi penerbit baru adalah KRU, yang menerbitkan novel-novel thriller pop dengan menggunakan nama-nama artis selebriti sebagai "penulisnya". Buku-buku itu diedarkan oleh Alaf21. Gosip mengatakan buku-buku itu tidak mendapat sambutan hangat di pasaran.

Selain mereka, ada penerbit besar yang menerbitkan novel-novel cinta dan popular, iaitu TIMES dan Rythm.

Pemain baru yang patut diperhatikan adalah Buku Prima yang dimiliki oleh Kumpulan Karangkraf, saudara kembar Alaf21. Walau bagaimanapun, belum jelas apa yang membezakan produk terbitan Buku Prima dengan terbitan Alaf21, nampaknya macam kedua-dua penerbit ini aktif dalam kategori serupa sahaja.




.