Wednesday, September 27, 2006

Karya Pelampung Keselamatan

Tahun 2006 menunjukkan pasaran retail mula jatuh, tetapi tahun 2006 juga mengejutkan staf jabatan editorial, pemasaran dan pengurusan PTS.

Sebelum ini PTS terkenal sebagai pemain dominan buku-buku motivasi dan pembangunan diri. Perolehan daripada jualan buku-buku itu sentiasa menjadi penyumbang utama ke dalam akaun syarikat.

Tetapi mulai Jun2006, sementara jualan buku-buku lain mulai lembap, jualan buku-buku siri buat duit PTS melonjak dan mengatasi jualan buku-buku motivasi!

Ada dua faktor utama fenomena ini:

1. Jumlah judul buku-buku buat duit terbitan PTS memang sudah bertambah banyak. Buku-buku itu diterbitkan oleh PTS PROFESSIONAL.

2. Jumlah jualan per judul memang meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai contoh jualan "Rahsia Bisnes Orang Cina" diulangcetak dalam tempoh sebulan dan diulang cetak 3 kali dalam tempoh 5 bulan. Jualan buku "Berubah Untuk Kaya" juga rancak dan buku itu cepat diulangcetak.

Trend ini memberitahu kita suatu perkara penting tentang tingkah laku golongan peminat buku-buku motivasi.

Dalam zaman duit banyak, isu buat duit bukan topik paling penting. Tetapi apabila berdepan dengan zaman duit tidak banyak, maka isu buat duit menjadi amat penting!

Trend ini menyebabkan PTS menceburkan diri ke dalam siri buku-buku buat duit dengan lebih bertubi-tubi. Buku-buku ini memainkan peranan survival yang kritikal kepada bisnes buku. Ia adalah pelampung keselamatan penerbit!

Bagi saudara yang menulis, saudara perlu menulis buku-buku pelampung saudara. Dengan demikian, sepanjang zaman ekonomi lembap saudara dapat terus menerima royalti bagi membolehkan saudara terus hidup sementara menanti ekonomi pulih.


.