Friday, September 29, 2006

Buku Remix: Kerja Sedikit, Royalti Banyak

Industri muzik sudah lama tahu apa itu album remix. Restoran Mamak pun sudah lama mengamalkan remix dalam bisnes menjual kari!

Penerbit buku pun sudah lama mencipta buku-buku remix. Banyak judul buku baru Edward deBono adalah judul remix. Sesetengah buku SifuPTS pun remix! Setiap tahun sekitar 60% royalti SifuPTS dijana oleh buku-buku remixnya. (Ha ha ha....)

Buku remix adalah BONUS BESAR, baik bagi penulis mahupun penerbit. Bagi si penulis, ia melibatkan sedikit kerja sahaja bagi menghasilkan buku-buku baru. Bahan-bahan yang terdapat dalam beberapa buku lama saudara dapat diulang-guna bagi menghasilkan buku-buku baru. Ini kes 20% kerja menghasilkan 80% royalti.

Kerja-kerja me-remix buku dapat dilakukan oleh pengarang sendiri. Ini yang dilakukan oleh Edward deBono, Dr. Danial Zainal Abidin, Ahmad Fadzli Yusof, Ahmad Naim Jaafar dan SifuPTS.

Remix juga dapat dilakukan oleh penerbit. Ini yang dilakukan oleh PTS Millenia ke atas buku-buku Dr. Robiah K Hamzah.

Apakah faktor yang membolehkan saudara menikmati royalti banyak daripada buku remix?

1. Judul-judul yang dapat diterbitkan semula sebagai produk remix adalah judul bukan fiksyen.

Ini kelebihan yang dinikmati oleh penulis bukan fiksyen, mereka boleh me-remix buku-buku mereka. Penulis novel takkan dapat menikmati royalti daripada sumber remix! Setiap kali penulis novel hendak royalti baru, mereka mesti tulis novel baru.

2. Judul-judul itu adalah judul yang laku.

Jika ada judul yang tidak laku, tidak mengapa, sebab mungkin ada bahan dalam buku itu yang sesuai dimasukkan ke dalam buku remix. Bayangkan sahaja, bahan yang tidak laku pun dapat dimasukkan ke dalam buku remix, kali ini baru laku.

3. Saudara mesti mempunyai banyak judul, sekurang-kurang 5 judul.

Jika saudara baru mempunyai 1 ataupun 2 buah buku, saudara belum mempunyai bahan yang cukup bagi dipilih-pilih untuk buku remix.

3. Judul-judul buku saudara itu mestilah dalam bidang yang serupa.

Ini amat penting, itu sebab buku saudara mesti ada siri. Kalau saudara jenis penulis bunga-rampai, saudara tidak dapat me-remix buku-buku saudara. Penulis bunga-rampai adalah penulis yang menulis banyak buku yang temanya rencam.

Bagi saudara yang menulis buku saudara dengan menggunakan KJ METHOD, proses me-remix menjadi mudah sekali.

Buku remix adalah cara bagaimana bahan-bahan dalam buku lama dapat dijual semula dalam bentuk baru. (Macam Mamak restoranlah, lebihan kuah semalam dapat dijual semula dengan meremixnya.) Itulah sebabnya isu backlist ini amat penting bagi penulis dan penerbit. Jika saudara tidak mempunyai backlist yang banyak, saudara rugi sebab saudara tidak dapat menjana royalti-berulang.

Apa itu royalti-berulang? Begini: Bagi setiap ayat yang saudara tulis, berapa kali ayat itu dapat saudara jual? Jika buku itu dicetak dan dijual 2 ribu naskhah, bermakna saudara menjual ayat itu sebanyak 2 ribu kali.

Ayat-ayat dalam buku "55 Petua Orang Berjaya" oleh Sdr Fadzli Yusof sudah hampir 40 ribu kali dijual dalam buku itu. Tetapi cuba saudara baca semua buku-buku beliau. Saudara akan jumpai ada ayat-ayat dalam buku 55 PETUA yang diulangcetak dalam buku-buku lain. Ertinya sesetengah ayat tulisan beliau sudah terjual lebih 100 ribu kali! Inilah yang dikatakan royalti berulang. (Tetapi SifuPTS masih menang.... ada ayat-ayatnya yang sudah terjual lebih 150 ribu kali. Sekali lagi... Ha ha ha!)

Penerbit suka penulis-penulis yang menghasilkan bukunya secara bersiri-siri disebabkan isu remix inilah. Bayangkan ada seorang penulis PTS yang bukunya sudah lebih daripada 7 buah, tetapi tema-temanya berbeza-beza, maka tidak dapatlah beliau hendak hendak me-remix buku-bukunya.

Ingat pesan Sifu: Fokus. Fokus. Fokus!


.