Tuesday, October 03, 2006

Buku Kecil, Royalti Besar

Banyak common sense yang betul, tetapi tidak kurang pula common sense yang sebenarnya salah, disebabkan akal biasa tidak semestinya betul.

Logik akal biasa mengatakan, ganjaran adalah commensurate dengan kesukaran kerja. Justeru ramai orang yakin projek besar membawa keuntungan lebih besar daripada projek-projek kecil.

Begitu juga, ramai orang percaya kerja-kerja yang teruk menerima perolehan lebih besar daripada kerja yang ringan.

Dalam dunia buku, ada buku yang besar dan yang sukar dihasilkan, yang membawa pulangan besar. Sebagai contoh buku Kamus Dewan adalah sebuah projek besar dan ia adalah buku terbitan DBP yang paling menguntungkan.

SifuPTS juga mempunyai buku jenis ini. Koleksi Peribahasa SifuPTS menelan kos RM27 ribu, 6 pembantu, dan 3 tahun bagi mengumpulkan dan menyusunnya. Ia juga merupakan buku SifuPTS yang paling menguntungkan sehingga hari ini.

Tetapi banyak buku-buku kecil dan yang mudah ditulis dapat menghasilkan perolehan yang melebihi kos penulisannya. Buku itu mungkin ditulis dalam masa 3 minggu sahaja, tetapi ia laku keras dan evergreen pula.

Buku-buku doa dan panduan ibadat harian adalah contoh yang baik. Begitu juga buku-buku cerita untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

Royalti buku-buku kecil memang kecil disebabkan harganya yang murah, tetapi buku-buku itu evergreen dan pasarannya luas. Justeru apabila dihimpunkan, jumlah royaltinya dapat menjadi besar, malah mungkin jauh lebih besar daripada royalti buku-buku besar yang susah menulisnya.

.