Menyusun Antologi
Catatan ini penting bagi editor buku.
Mengapakah kaset dan CD muzik menikmati jumlah jualan yang lebih banyak daripada buku? Kalau penulis berjaya menjual 3 ribu naskhah bukunya, dia sudah berbangga! Kalau penyanyi hanya berjaya menjual 3 ribu unit kaset dan CDnya, baginya itu adalah kegagalan yang mengaibkan.
Pandangan dan sentuhan pertama adalah kritikal dalam proses membuat keputusan.
Apabila saudara pergi ke kedai muzik, saudara mungkin meminta pembantu kedai memainkan dulu kaset sebelum membuat keputusan membelinya. Adakah saudara perasan, sebelum kaset itu disimpan semula, pembantu itu akan me-rewind kaset itu sebelum menyimpannya semula?
Penerbit muzik sentiasa meletakkan lagu yang terbaik sebagai lagu pertama dalam antologi muzik. Bagi memastikan lagu yang didengar oleh mana-mana bakal pembeli adalah lagu yang terbaik, justeru kaset yang sudah diuji mesti di-rewind semula, supaya setiap kali kaset itu diuji, hanya lagu pertama yang didengar!
Lazimnya penerbit buku Melayu tidak berfikir sebagaimana penerbit muzik. Dalam industri muzik, penerbitlah yang menentukan susunan antologi dalam kaset dan CD, bukan pencipta lagu ataupun penyanyi.
Sebaliknya, dalam industri buku Melayu, penerbit ikut sahaja susunan yang dibuat oleh penulis. Lazimnya penulis membuat susunan bukunya dengan tidak memasukkan strategi pemasaran dan penjualan bukunya. Akibatnya, buku itu tidak disusun dengan objektif yang selaras dengan bisnes jualan buku.
Adakah saudara sedang menyusun buku antologi? Antologi saudara mungkin antologi artikel, puisi, cerita-cerita, cerpen ataupun catatan travelogue.
Ada beberapa cara menyusun antologi:
(a) Ikut kronologi
Di sini karya yang ditulis paling awal diletakkan paling di depan, dan karya yang ditulis paling lewat diletakkan pada bahagian terakhir.
Risiko teknik ini adalah item pertama itu bukan item yang paling baik mutunya. Pada logiknya, cerpen yang ditulis sewaktu penulis itu masih muda tidak sebaik cerpen yang ditulis pada usia lebih dewasa.
(b) Ikut tema-tema
Di sini semua item dikumpulkan berdasarkan tema-temanya. Pilihlah tema yang paling menarik sebagai tema pertama. Antara item dalam tema itu, pilih item yang terbaik dan letakkan sebagai item pertama.
(c) Ikut pengarang
Di sini, item-item itu dihasilkan oleh beberapa penulis. Semua item dikumpulkan berdasarkan penulis.
Pilih pengarang yang paling terkenal sebagai pengarang pertama. Antara karyanya, pilih yang terbaik sebagai item pertama.
Jikalau saudara sedang menulis buku antologi catatan pengembaraan - travelogue - susun item-itemnya supaya catatan-catatan yang paling menarik diletakkan pada bahagian awal buku itu.
Editor buku-buku antologi perlu menerangkan kepada penulis mengapa susunan yang dibuat oleh penulis belum tentu disetujui oleh penerbit. Jangan ikut sahaja apa yang ada dalam manuskrip yang dihantar oleh penulis.
.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home