Friday, November 24, 2006

Novel Cinta dan Blue Ocean

Buku strategi bisnes BLUE OCEAN STRATEGY berguna bagi para penulis dan penerbit. Buku ini memberitahu kita tentang salah satu kesilapan yang sering kali dilakukan oleh orang bisnes.

Kesilapan itu adalah jenis strategi ‘ikut-ikutan’. Kesilapan jenis ini sering kali dilakukan oleh pemain-pemain baru.

Ambil sebagai contoh kes novel cinta. Sektor novel cinta sudah bertaraf Red Ocean. Ada dua jerung besar di dalamnya, iaitu ALAF dan CREATIVE.

Apabila Creative dan ALAF21 berjaya membuka pasaran novel cinta, maka banyaklah pemain baru ikut terjun ke dalam sektor novel cinta.

Antara pemain baru itu adalah penerbit lama seperti Utusan, Times dan Rythm! Jangan sebutlah nama-nama penerbit novel cinta yang baru muncul yang lebih banyak jumlahnya.

Macam belum cukup, ada pula pengedar novel cinta yang gagah perkasa pun ikut masuk menjadi penerbit halimunan. Pengedar bertaraf jerung itu membayar kos percetakan novel-novel cinta yang ditulis oleh novelis cinta yang sudah senior dan diterbitkan oleh syarikat baru muncul milik penulis itu.

Demikian juga halnya dengan kesilapan ramai penulis baru. Beratus-ratusan penulis baru, majoritinya perempuan, ikut menulis novel-novel cinta dan menghantarkan manuskrip mereka ke Alaf21 dan Creative. 99% manuskrip mereka ditolak dengan sebelah mata disebabkan tidak bermutu.

Seperti yang dikatakan dalam buku Blue Ocean Strategy, ada 2 wilayah lautan, yakni wilayah pasaran.

Lautan Red Ocean dikatakan ‘red’ sebab air lautan itu sudah merah oleh darah akibat para jerung yang penuh sesak di dalamnya luka-luka cuba memakan satu sama lain.

Dalam bahasa bisnes, banyak penerbit novel cinta ikut-ikutan yang ‘terbakar tangannya’. Dalam mengejar untung besar, langsung kerugian yang dialami.

Justeru buku BOS ini mengajar kita supaya jangan masuk ke dalam wilayah Red Ocean, sebaliknya masuklah wilayah Blue Ocean, yakni kita menjadi jerung yang berenang dalam lautan yang airnya masih biru.

Biarlah ALAF21 dan Creative menjadi jerung novel cinta. Times, Utusan dan Rythm yang cuba masuk lautan itu pun gagal memakan Alaf21 dan Creative. Punca kegagalan mereka adalah persepsi.

Peminat novel cinta percaya novel-novel cinta yang diterbitkan oleh Times, Utusan dan Rythm tentu sudah ditolak oleh Alaf21 dan Creative!

Dalam kategori buku motivasi, perkara yang serupa berlaku. PTS menerima banyak proposal daripada penulis baru yang hendak menulis buku motivasi, khususnya motivasi pandai belajar dan pandai menjawab kertas peperiksaan.

Pasaran buku motivasi pelajar cemerlang sudah bertaraf Red Ocean. Sudahlah! Air laut di situ sudah merah!

Tulislah buku motivasi bisnes. Di situ airnya masih biru!
.

.