Friday, November 24, 2006

Apa Lainnya Novel PTS

Berkali-kali kita ditanya: “Apa lainnya novel-novel terbitan PTS FORTUNA?”

Maka inilah jawapan kita:

Sebagai strategi bisnes, PTS tidak boleh masuk pasaran fiksyen dengan tidak menawarkan produk-produk yang unik, yang tidak berbeda daripada produk-produk sedia ada dalam pasaran.

Seandainya novel-novel PTS serupa dengan novel-novel DBP, ataupun ALAF21 ataupun CREATIVE, kita akan masuk wilayah ‘red ocean’, yakni ranah pasaran lama yang sudah penuh sesak dengan pemain-pemain lama.

Dengan menerbitkan novel-novel jibunsyi yang ditulis menggunakan teknik surah Yusuf, PTS mencipta wilayah ‘blue ocean’, yakni PTS meneroka dan membuka ranah pasaran baru, di mana selain PTS tidak ada pemain lain dalam ranah baru itu.

Justeru, dalam pasaran novel jibunsyi, yang ada hanya novel-novel terbitan PTS! Sesiapa yang mahu membaca jibunsyi Melayu, mereka tiada pilihan lain kecuali membaca jibunsyi dari PTS FORTUNA.

Dengan menggunakan strategi blue ocean, novel-novel jibunsyi PTS tidak akan bersaing dengan novel-novel terbitan DBP, ALAF21 ataupun CREATIVE.

Inilah strategi bisnes PTS. Dengan menerbitkan novel-novel jibunsyi Islami, PTS tidak mempunyai pesaing!

Strategi blue ocean mengajar kita supaya jangan menjual kepada pelanggan yang ada, sebaliknya, jual kepada bukan pelanggan.

Justeru, PTS tidak mentargetkan jualan novel-novel jibunsyinya kepada pembaca novel-novel cinta. Sebaliknya jualan jibunsyi PTS adalah ditargetkan kepada mereka yang selama ini tidak membaca novel!

Sekiranya selepas ini akan ada penerbit lain ikut menawarkan jibunsyi, automatis PTS akan menjadi pesaing mereka. Justeru, mereka perlu mem-benchmark kualiti jibunsyi yang mereka terbitkan dengan kualiti jibunsyi PTS.

Pada waktu penerbit ikut-ikutan itu sibuk menganalisis di mana kekuatan dan kelemahan jibunsyi PTS dengan niat mahu mengalahkan kualiti PTS, pada waktu itu PTS sudah membuka ranah baru lagi!

.

.