Friday, August 19, 2005

Stroke Artis

Jikalau saudara hendak menjadi penerbit buku kanak-kanak, saudara memerlukan pelukis buku kanak-kanak yang betul. Mengapa 'yang betul'?


Bukan semua pelukis mempunyai 'stroke' yang sesuai untuk buku kanak-kanak. Sesetengah pelukis, strokenya sesuai untuk buku remaja lelaki, sesetengahnya sesuai untuk buku orang tua, dan begitulah seterusnya.


Yang menjadi isu di sini adalah, bagaimana saudara dapat menilai dengan tepat pelukis mana yang strokenya sesuai dengan kanak-kanak?


Setahu kita, walaupun di negara kita sudah banyak terdapat kolej dan universiti yang mengajar mata pelajaran senilukis, tetapi tidak ada mana-mana institusi yang menawarkan kursus ilustrasi untuk produk kanak-kanak.


Saudara sendiri bukan kanak-kanak lagi, oleh itu apabila saudara menilai stroke pelukis, saudara tidak menilainya sebagaimana kanak-kanak menilainya. Penilaian saudara itu adalah penilaian orang dewasa.


Jikalau pelukis itu memberitahu dia sudah pernah melukis buku kanak-kanak untuk penerbit lain, waima dia sudah pernah menang award sekalipun, itu bukan jaminan dia dapat menghasilkan ilustrasi yang disukai oleh kanak-kanak sasaran bagi buku saudara.