Wednesday, August 17, 2005

Buku Mawi AF

Apabila kerajaan memperkenalkan Islam versi Hadhari, muncul dua tiga syarikat penerbit baru menerbitkan buku bertemakan Islam Hadhari dengan harapan mereka dapat cash-in (buat duit cara mudah) daripada isu trendy itu.


Jika saudara terfikir hendak menulis ataupun menerbitkan buku yang bertemakan isu-isu trendy, berhati-hati. Ada perkara-perkara trendy yang dapat menghasilkan keuntungan, manakala ada yang menghasilkan kerugian.


Mengapakah tema Islam Hadhari menghasilkan kerugian, baik kepada penulis mahupun penerbit buku?


Buku-buku trendy yang menghasilkan keuntungan mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Buku itu dikaitkan dengan personaliti yang mempunyai amat banyak peminat. Jadi, buku tentang Puteri Diana laku dijual di seluruh dunia disebabkan peminat beliau ada di seluruh dunia. Buku perkahwinan Yusri-Erra laku ratusan ribu naskhah disebabkan pasangan itu mempunyai ratusan ribu peminat. Jadi, jangan tersalah pilih tema isu trendy. Hanya kerana isu trendy itu dimulakan oleh seorang tokoh terkenal, maka saudara yakin saudara dapat cash-in, nanti dulu! Ada tokoh yang terkenal dan mempunyai banyak peminat. Ada tokoh yang terkenal tetapi tidak banyak peminat, contohnya Mona Fendy!

  1. Buku itu dikaitkan dengan trend bisnes yang populist (merakyat) sifatnya. Jadi, apabila perniagaan gaya MLM (multi-level-marketing) mula masuk ke negara ini, buku-buku motivasi dan panduan bagaimana saudara dapat berjaya sebagai agen MLM karangan Dr. Azman, laku berpuluh ribu naskhah dalam pasaran, sebab beratus ribu orang rakyat biasa memasuki skim-skim MLM, masing-masing mengejar impian dapat menjadi jutawan macam Dr. Azman.

  1. Buku trendy itu adalah karangan tokoh yang mempunyai banyak peminat. Jika saudara berpeluang menerbitkan karya jenis ini, memang rezeki baik. Sudahlah pengarangnya banyak peminat, isi bukunya pula trendy. Buku jenis itu belum dikarang, para penerbit sudah berebut-rebut meminta hak penerbitannya. Mahukah Mawi AF menuliskan bukunya tentang rahsia-rahsia dalam dunia fantasi AF yang hanya pelajar-pelajar AF sahaja tahu? Gosip-gosip AF ditulis oleh idola AF! Mahukah saudara menjadi penulis hantu (ghost writer) Mawi? Ini peluang cash-in. Mawi amat sibuk, takkan sempat menulis bukunya sendiri. Buku itu mesti terbit sekarang, sementara Mawi masih top. Ia akan jadi produk terhangat di pasaran. Masa cash-in amat singkat. Musim AF 2006 akan tiba tak lama lagi.

Apabila saudara hendak menulis ataupun menerbitkan buku-buku trendy, rezeki saudara singkat tempohnya. Apabila Mawi jatuh, apa-apa yang mempunyai kaitan dengan Mawi, insyaAllah ikut jatuh. Namanya pun buku trendy.