Monday, August 15, 2005

Nasib Penulis (lagi)

Kisah ini benar-benar pernah berlaku kepada seorang penulis terkenal. Beliau sekarang seorang profesor!


Pada suatu masa penulis itu mempunyai seorang kenalan yang ingin menjadi penerbit buku. Si kenalan memujuk supaya penulis itu sanggup menyerahkan mana-mana buku yang akan ditulis kepadanya bagi diterbitkan.


Penulis itu pun menyerahkan sebuah novelnya. Si kenalan itu pun menerbitkannya.


Dua tahun lebih semuanya senyap sahaja. Penulis itu pun pergi ke pejabat kenalannya. Kalau dapat, dia hendak meminta royalti.


Si kenalan memberitahu dia mencetak bukunya 3 ribu naskhah. Satu ribu naskhah sudah diserahkan kepada 3 buah pengedar, tapi cuma 400 yang laku. Yang lain ada dalam setornya mengumpul debu.


Kemudian si kenalan memberitahu dia tidak minat menjadi penerbit. Dia sudah menjadi pengedar minyak masak.


“Aku tak ada duit nak bayar royalti hang,” kata si kenalan. “Kalau mau, hang ambillah berapa botol minyak masak buat ganti royalti hang!”


Maka si penulis pun mengisi but keretanya dengan botol-botol minyak masak....