Penulis Banyak Songel
Kebanyakan penulis mempunyai sikap kooperatif, mudah berunding dan suka bekerjasama dengan penerbit. Tetapi, macam biasalah, ada yang 'banyak songel'.
Bagi saudara yang baru hendak menceburkan diri dalam dunia penulisan, elakkan perkara-perkara berikut:
Meminta layanan istimewa dari penerbit. Sebagai contoh saudara minta kekecualian daripada dikenakan prosedur yang dikenakan kepada semua penulis lain. Kalau penulis lain tahu saudara diberi layanan istimewa, cakap penerbit tak dipercayai lagi oleh penulis-penulis lain. Penerbit takut hilang kredibiliti, suatu hal yang amat berbahaya dalam dunia bisnes. Bagi penerbit, hilang seorang penulis lebih baik daripada hilang kredibiliti.
Apabila editor melakukan kesilapan teknikal, sebagai contoh nama saudara salah eja, jangan mengutuk penerbit dalam Yahoo group saudara. Masalah teknikal, penyelesaiannya adalah secara teknikal. Ejaan yang salah dapat dibetulkan apabila buku saudara diulangcetak, tetapi nama baik yang rosak tak dapat diperbaiki. Saudara boleh kutuk orang, tetapi orang pun boleh kutuk saudara. Jangan kutuk-mengutuk, besok lusa, mana tahu, kita terpaksa bersua muka.
Saudara jangan 'depan cakap lain, belakang cakap lain' dengan editor. Depan editor sudah setuju buku saudara diterbitkan, balik belakang tulis SMS tarik balik keputusan itu. Ingatlah, editor sudah banyak menggunakan masa bagi memproses manuskrip saudara: kos mengedit, buat layout, bayar pelukis ilustrasi, buat design kulit, uruskan CIP, buat filem, tiba-tiba saudara tak mahu tandatangani perjanjian penerbitan! Cerita saudara yang cakapnya tak boleh dipegang tentu sampai ke pengetahuan editor-editor syarikat lain.
Apabila penerbit mengaturkan aktiviti promosi buku saudara, janganlah minta bayaran itu ini. Penerbit sudah mengeluarkan banyak kos bagi mengadakan aktiviti itu, ambil sikap sama-sama mempromosi buku saudara. Jangan tengok jangka masa pendek, tengok jangka masa panjang. Kalau saudara banyak syarat, penerbit akan mempromosi buku-buku penulis lain.
Ingatlah, penerbit mempunyai beratus-ratus penulis, masing-masing dengan bukunya. Pegawai promosi di penerbit itu diberi bajet tahunan. Beliau perlu mengadakan sebanyak-banyak aktiviti promosi menggunakan peruntukan wang yang terhad. Kalau saudara minta dibayar untuk itu dan ini, beliau akan mencari penulis lain. Jadi, jangan merungut jika buku-buku saudara tidak dipromosi.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home