Nasib Buku Tempatan dalam Bahasa Inggeris
Orang-orang yang menuturkan bahasa Inggeris selalu berkata, lebih kurang begini bunyinya, kepada pegawai-pegawai PTS, “Lebih baik awak terbitkan buku dalam bahasa Inggeris. Boleh jual di serata dunia.”
Beginilah jawapan PTS:
Undang-undang di Amerika, Canada, Australia, Britain, German, Perancis, Itali dan lain-lain negara Eropah mewajibkan buku-buku yang hendak dijual di negara-negara itu mesti diterbitkan dan dicetak di situ, ataupun sudah mendapat keizinan khas untuk dipasarkan di negara-negara itu. Begitulah cara negara-negara maju mengawal pasaran buku mereka. Dasar begitu adalah amat bijaksana kerana dengan cara itu para penerbit dan pencetak di sana mendapat peluang menjana keuntungan dan pekerjaan. Dengan adanya undang-undang itu tidak ada jalan bagi penerbit Malaysia mengekspot buku yang diterbitkan di negara ini ke sana.
Buku-buku bahasa Inggeris yang ditulis oleh penulis tempatan tidak dapat dijual di sini. Rakyat Malaysia yang membaca dalam bahasa Inggeris mempunyai sikap memandang rendah buku-buku Inggeris yang diterbitkan di Malaysia, tanpa mengira siapa penulisnya. Itulah sebabnya penerbit Malaysia menggunakan alamat Singapura ataupun Hong Kong pada buku mereka untuk mengaburi mata pembaca tempatan. Orang Malaysia yang pandai bahasa Inggeris yakin sesiapa yang namanya nama Inggeris, buku orang itu ada kualiti. Sesiapa yang namanya 'Chong' atau 'Ahmad' atau 'Muthu' bukunya tiada kualiti.
Sedangkan penulis Malaysia berbangsa Cina pun dipandang rendah oleh pembaca buku-buku Inggeris, inikan pula penulis yang menggunakan nama Melayu!
Bagi saudara yang baru hendak belajar menjadi penulis ataupun penerbit, hati-hati apabila memproses pendapat individu-individu yang tidak tahu menahu tentang industri perbukuan di negara ini.
Jangan sampai dikatakan orang, “Dengar cakap enggang, makan buah beluluk. Dengar cakap orang, terjun masuk lubuk.”
0 Komen :
Post a Comment
<< Home