Sunday, August 14, 2005

Apa Itu 'Harga Invois'?

Istilah 'harga invois' digunakan oleh penerbit dalam urusan perniagaan hariannya. Namun saudara perlu tahu istilah ini sebab ia boleh menyebabkan saudara untung ataupun rugi sebagai penulis.


Setiap penerbit mempunyai istilah masing-masing apabila menetapkan formula kadar bayaran royalti kepada penulis. Mereka juga mempunyai cara-cara sendiri apabila membuat kiraan bayaran royalti.


Penerbit PTS menetapkan kadar bayaran royalti untuk buku 'edisi paperback' sebagai 5% daripada 'harga jualan' yang dicetak pada kulit belakang buku itu. Saudara tengok sendiri berapa harga buku saudara pada buku saudara. Disebabkan harga buku PTS sudah dicetak pada kulit buku, kedai buku tidak boleh menaikkan harga sesuka hati, suatu hal yang kedai-kedai buku tak berapa suka! Bagi setiap naskhah yang terjual di kedai, saudara dibayar 5% oleh PTS. Kalau buku saudara RM10, saudara dapat 50 sen.


Ada penerbit membayar royalti 10%, TETAPI daripada 'harga diskaun' kepada penjual. Pengedar-pengedar buku dan kedai buku membeli buku daripada penerbit pada harga yang lebih murah daripada harga saudara beli di kedai buku. Mereka mendapat diskaun, yakni potongan harga. Pengedar-pengedar besar boleh mendapat diskaun antara 50 – 70%. Katakanlah buku saudara RM10, pengedar diberi 50% diskaun, ertinya pengedar membeli pada harga RM5. Bagi setiap buku saudara yang dijual kepada pengedar, saudara dapat 10%, iaitu 50 sen.


Baik, apa itu 'harga invois'. Invois adalah surat 'tuntutan bayaran' yang dikeluarkan oleh penerbit kepada sesiapa yang membeli buku daripadanya. Harga invois serupa dengan 'harga diskaun'.


Bagi saudara sebagai penulis, jika saudara diberi royalti berdasarkan harga diskaun, mahupun harga invois, isunya adalah, bagaimana saudara nak tahu sama ada penerbit membuat kiraan jujur ataupun tidak? Penerbit tidak memberi 50% kepada semua pengedar dan pekedai. Kedai-kedai kecil lazimnya mendapat diskaun rendah sebab mereka tidak membeli banyak naskhah. Manakala agen-agen yang membeli tunai lazimnya diberi diskaun paling tinggi, boleh sampai 70%. Bagaimana kalau penerbit memberitahu saudara bahawa buku saudara ditolak 55% harga diskaun, bukan 35% sahaja?


Ini baru cerita bagaimana penerbit menawarkan royalti kepada penulis. Ini belum masuk bab bagaimana royalti saudara dikira bagi tujuan menuliskan jumlah wang yang akan dihantar kepada saudara!


Itulah sebabnya sebagai penulis, saudara memerlukan ilmu-ilmu pengetahuan sampingan berkenaan dunia perbukuan, supaya saudara dapat membuat keputusan yang lebih baik bagi diri saudara.