Hakcipta dan Hak Penerbitan
Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua konsep yang mesti difahami oleh penulis, demi kebaikan penulis sendiri. Banyak penulis mengalami kerugian besar disebabkan mereka tidak memahami kedua-dua konsep ini.
Banyak penulis hanya faham konsep 'hakcipta' sahaja. Malah ada Sasterawan Negara yang tidak faham wujudnya apa yang disebut 'hak penerbitan'. Akibatnya mereka menandatangani perjanjian penerbitan yang amat merugikan penulis.
Apabila saudara menulis buku, secara automatik hakcipta dan hak penerbitan buku itu adalah saudara punya. Sesiapa yang memiliki hakcipta karyanya, dia juga memiliki hak penerbitan karya itu. Baik hakcipta mahupun hak penerbitan, kedua-dua boleh dipindahkan kepada pihak lain.
Jadi ada penulis yang menjualkan hakciptanya kepada penerbit. Sebagai contoh, novel Keris Mas “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” hakciptanya sudah dibeli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Jadi hakcipta karya itu sudah menjadi milik DBP. Hak Penerbitannya juga dimiliki oleh DBP.
Kalau besok novel “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” itu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh sebuah penerbit Jepun, dan berjaya dijual 100 ribu naskhah di sana, semua royaltinya diambil oleh DBP. Hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak Jepun.
Jika novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Hindi di India, hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak di India. Royaltinya diambil oleh DBP.
Jika saudara tidak mahu menjual hakcipta buku saudara kepada penerbit, apakah yang mengizinkan penerbit menerbitkan buku saudara?
Begini. Saudara hanya mengizinkan penerbit itu menerbitkan buku saudara sahaja. Jadi, kepada penerbit itu, saudara memberikan hak menerbitkan, mencetak, menyimpan, mengedar dan menjual buku saudara. Sebagai imbalan, saudara akan dibayar sekian-sekian banyak royalti ataupun honorarium.
Isunya sekarang, berapa lama tempoh yang saudara benarkan si penerbit memegang hak menerbiktan buku saudara itu?
Cuba saudara baca balik klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan penerbit itu. Ada ataupun tidak dinyatakan tempoh hak penerbitan yang saudara berikan kepada penerbit itu - selama satu tahun, lima tahun, dua puluh tahun, ataupun 'selagi ada bulan dan matahari'?
Dalam tempoh hak penerbitan, walaupun hakcipta buku itu saudara punya, tetapi saudara tidak boleh menukar penerbit saudara. Katakanlah, penerbit saudara adalah DBP. Dalam dokumen perjanjian penerbitan dengan DBP, tidak disebutkan had tempoh hak penerbitan itu. Ini bermakna, saudara menyerahkan hak penerbitan buku saudara itu sampai bila-bila!
Katakanlah, sudah sepuluh tahun DBP tidak mahu mengulangcetak buku saudara, saudara tidak boleh menyuruh penerbit lain menerbitkan buku saudara itu. Yang berhak menerbitkan buku saudara adalah DBP sahaja. DBP mahu terbit semulakah, tak mahu terbit semulakah, itu hak DBPlah!
Kalau saudara hendak menjual hakcipta buku itu kepada penerbit lain, penerbit itu akan menghadapi masalah. Dia tidak dapat hendak menerbitkan sendiri buku itu. Sebab hak menerbitkannya dipegang oleh DBP.
Semua penulis DBP ambil perhatian perkara ini. Kita perlu berpakat membuat memorandum dan menyerahkannya kepada DBP meminta supaya DBP, sebagai penerbit milik penuh kerajaan, menyemak semula dokumen perjanjian penerbitan yang digunakannya sekarang, dan diselaraskan dengan hasrat kerajaan menggubal undang-undang harta intelektual, iaitu bagi melindungi harta intelektual rakyat negara ini. Semangat yang terkandung di dalam dokumen perjanjian penerbitan DBP sekarang sudah tidak selaras dengan semangat undang-undang harta intelektual.
1 Komen :
Saya merupakan penulis baru dan baru sahaja menghantar novel pertama saya ke sebuah syarikat penerbitan untuk penilaian. Setelah membuat kaji selidik, saya mendapati rata-rata novel di pasaran, hak cipta tidak dimiliki oleh penulis itu sendiri, sebaliknya dimiliki oleh pihak penerbit. Sedangkan bila kita rujuk pada setiap novel yang datang dari Amerika atau negara-negara luar lain, hak cipta sudah pasti diserahkan kepada penulis.Terima kasih atas artikel Puan berkenaan isu ini. Saya cuma tertanya-tanya, adakah ruang untuk perbincangan dengan pihak penerbit lain di Malaysia berkenaan isu hak cipta ini?
Post a Comment
<< Home