Sunday, August 14, 2005

Cinta Pandang Pertama

“Bosannya…” Shamsuri berbisik kepada dirinya sendiri.

Mata pelajaran sejarah tentang kejatuhan Empayar Majapahit yang sedang diajarkan oleh Cikgu Hasnizan tidak diambil perhatian sepenuhnya. Dia sudah kepenatan. Otaknya sudah penuh disumbat dengan pelbagai maklumat sejak pagi tadi.

“Assalamualaikum!”

Semua mata dalam bilik darjah Tingkatan Satu Ibnu Sina itu tertumpu kepada empunya suara.

Ustaz Razali yang garang itu berdiri di muka pintu.

“Wa’alaikumussalam,” Cikgu Hasnizan menjawab. Murid-murid turut sama menjawab, cuma bunyinya sekadar berbisik.

Shamsuri terjenguk-jenguk kerana pandangannya dihalang oleh beberapa kepala di sebelahnya. Lehernya dipanjangkan sedikit. Barulah kelihatan wajah Ustaz Razali.

Cikgu Hasnizan mendekati muka pintu. Ustaz Razali berbicara sesuatu dengan Cikgu Hasnizan yang tidak dapat Shamsuri tangkap isinya. Sesekali Cikgu Hasnizan mangangguk-angguk.

Kemudian, Si Dia muncul. Cikgu Hasnizan menjemput Si Dia masuk ke kelas.

“Minta maaf kerana mengganggu. Andai tiada apa-apa, saya minta diri dahulu,” ujar Ustaz Razali sebelum menghilangkan diri. Cikgu Hasnizan sekadar mengangguk.

Si Dia mula melangkah masuk ke kelas. Mata Shamsuri terpaku kepada wajah itu. Entah mengapa, jantungnya tiba-tiba berdegup pantas. Matanya terus mengekori langkah insan tersebut. Mulutnya sedikit terlopong.

“Alangkah cantiknya gadis itu,” Shamsuri bercakap separuh berbisik. Dia menelan air liurnya.

Fahmi mengangguk-angguk walaupun sebenarnya kenyataan tadi hanya ditujukan kepada diri Shamsuri sahaja. Dia tidak sangka Fahmi terdengar akan kata-katanya. Dia tidak sangka yang Fahmi berkongsi kekaguman yang sama dengannya.

“Ada meja kosong?” tanya Cikgu Hasnizan.

“Shamsuri...” panggil Cikgu Hasnizan tiba-tiba selepas mendapati bahawa meja yang dimaksudkan tiada.

“Saya!” Pantas Shamsuri menjawab panggilan Cikgu Hasnizan. Sudah terbayang-bayang di mindanya arahan yang bakal keluar daripada mulut gurunya itu.

“Apakah kamu mahu membiarkan pelajar baru ini berdiri di sini?”

Shamsuri faham soalan itu. Tersembunyi arahan di sebalik soalan itu. Pantas sahaja Shamsuri menyusun langkah menurut arahan tersebut.

Jantungnya makin berdegup kencang. Tiba-tiba wajahnya terasa panas. Meja dan kerusi lebihan yang tersusun di belakang kelas diangkat satu persatu. Shamsuri merasakan semua mata di dalam kelas itu sedang memandangnya tetapi dia tidak berani berpaling untuk memastikan kebenaran tanggapannya.

“Mahu letak di mana?” tanya Shamsuri.

“Di sini,” ujar Cikgu Hasnizan sambil jemarinya menunjukkan posisi dan kedudukan yang dikehendaki.

Shamsuri mengangguk. Cepat-cepat dia menyusun kerusi dan meja di tempat yang dimaksudkan. Dia sudah tidak tahan lagi dibogelkan oleh mata-mata yang memandangnya sejak tadi.

“Sudah?” tanya Cikgu Hsnizan sekadar mahu memastikan bahawa kerusi dan meja itu sudah sedia untuk diduduki oleh pelajar baru itu.

Shamsuri mengangguk.

“Terima kasih.” Suara lembut itu berdesup-desup menggegarkan gegendang telinganya. Cepat pula isyarat itu sampai ke ruang hatinya. Ada sesuatu yang memenuhi ruang udara jantungnya tiba-tiba.

Shamsuri sesak nafas. Tubuhnya tiba-tiba menggeletar tetapi tidak terlihat di mata orang lain. Hanya dia yang dapat merasakannya.

Shamsuri mengangguk. Tidak dipandang langsung kepada gadis itu.

Lidahnya keras. Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan. Suaranya seolah-olah silu untuk keluar dari ruang halqumnya.

Tergopoh-gapah dia pulang ke tempatnya. Kakinya tidak mahu menurut arahan, bahkan bagai dipaksa-paksa menyusun langkah sumbang tatkala Shamsuri kembali ke tempat duduknya.

“Siapakah Si Dia?” hati Shamsuri melonjak-lonjak ingin tahu siapakah insan yang telah menegurnya tadi.

Inilah kali pertama dia melihat wajah itu. Inilah juga kali pertama hatinya terusik sejak menempuhi alam persekolahan peringkat menengah. Shamsuri mengharap-harap agar Cikgu Hasnizan akan meminta gadis itu memperkenalkan dirinya di hadapan. Nanti tidaklah dia perlu menebal muka untuk bertanyakan nama gadis itu.

Namun, harapan tinggal harapan. Si Dia terus mengambil tempat duduknya. Sempat Si Dia bersalam dengan teman-teman baru di sekelilingnya.

Gadis Si Dia itu terus mengukir senyuman. Pandangan Shamsuri bertembung dengan senyuman itu. Tidak berkelip matanya. Pada lesung pipit yang terukir di pipinya menambahkan seri senyumannya.

“Tetapi, siapakah Si Dia itu?” Makin galak hatinya memaksa ingin tahunya supaya mencari nama gadis tersebut.

“Apa nama saudari?”

Pucuk dicita, pucuk juga yang mendatang. Soalan Cikgu Hasnizan benar-benar membuka ruang kelegaan di hati Shamsuri. Shamsuri pasang telinga.

“Maryam Razali,” gadis itu menjawab sepatah.

“Maryam Razali!” bisik Shamsuri mengulang kembali nama tersebut. Cepat-cepat nama itu disematkan di dalam kotak memorinya.

“Maryam...” sekali lagi dia menyebut nama itu.

“Razali?” Shamsuri tersentak. Matanya sedikit terbeliak.

“Ustaz Razali?” Wajah Ustaz Razali mula muncul di benak pemikirannya. Barulah dia tahu kenapa Ustaz Razali yang mengiringi gadis itu ke mari.

“Sebelum ini bersekolah di mana?” Cikgu Hasnizan masih meneruskan sesi perkenalan.

“Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring.”

Shamsuri mengangguk-angguk. Seingatnya sebelum Ustaz Razali mengajar di sini, dia pernah menjadu guru di sekolah yang disebutkan oleh Maryam. Barulah Shamsuri menemui titik-titik yang mempertemukan antara Maryam dengan Ustaz Razali.

Cikgu Hasnizan masih meneruskan perbualan dengan Maryam. Shamsuri tidak ambil peduli semua itu.

Cukuplah. Dia sudah mengetahui nama gadis tersebut.

Barangkali gadis itu juga sudah mengetahui namanya. Bahkan namanya adalah yang pertama di dalam kelas ini yang diperkenalkan kepada Maryam apabila Cikgu Hasnizan memintanya menyediakan meja dan kerusi untuk Maryam. Terasa ada sesuatu yang mengembang di sebalik tulang rusuknya.

Shamsuri menarik nafas panjang. Dibuang segala angan-angan yang berebut-rebut mahu masuk ke dalam otaknya. Layangan mindanya dipusatkan kembali ke alam realiti.

“Saya lihat saudara gembira sahaja,” Fahmi tiba-tiba bersuara apabila melihat senyuman Shamsuri yang tidak mahu lekang itu.

Cepat-cepat Shamsuri buang senyuman itu. Dia tidak mahu sesiapa pun, termasuk Fahmi, mengetahui akan perasaannya sekarang. Takut nanti ditertawakan teman-temannya. Namun, jauh di sudut hatinya, lafaz-lafaz kegembiraan jelas kedengaran. Pertama kali dia berasa sebegini. Tidak dapat dipastikan perasaan itu, namun dia benar-benar teruja dengan pengalaman baru ini.

Tiba-tiba tengah hari yang membosankan itu berubah wajah. Setiap tutur kata yang keluar dari mulut Cikgu Hasnizan ibarat melodi indah yang mendamaikan jiwa.

Shamsuri tidak lagi merasa mengantuk. Dia berjanji tidak akan mengantuk lagi dalam bilik darjah.

(Petikan daripada novel jibunsyi karya Imad yang bakal terbit)



2 Komen :

At 12:22 PM, Blogger diasporatemasik Berkata ...

Cantik! Setelah diedit baru nampak tersusun jalan ceritanya. Cuma nak tanya satu soalan... Bahagian yang Shamsuri dan Fahmi melayan kebosanan mereka kenapa dibuang? Entahla.. tapi saya rasa macam bahagian tu penting untuk menunjukkan apa sebenarnya yang murid-murid suka buat bila belajar subjek sejarah...

 
At 9:46 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Dibuang untuk tujuan siaran ini sahaja sebab ruang yang terhad. Dalam buku nanti, ada, jangan bimbang.

 

Post a Comment

<< Home