Bakat Menulis, Bakat Bercerita
Para penulis buku-buku cerita untuk bacaan kanak-kanak dan remaja di negara ini perlu bersiap sedia bagi menghadapi perubahan cara kerja yang akan dilaksanakan oleh penerbit buku-buku kategori itu.
Bagi penulis-penulis baru, perubahan itu tidak menjadi masalah kerana mereka lebih terbuka kepada idea-idea baru.
Produk yang berkualiti dihasilkan oleh gabungan pelbagai bakat, ilmu dan kemahiran. Sebagai contoh, cerita-cerita kartun adalah gabungan usaha antara para pengarang cerita dengan para pelukis kartun. Jadi, siri Doraemon dihasilkan oleh sekumpulan pembekal cerita dan sekumpulan pelukis animasi.
Bakat yang digunakan bagi menghasilkan manuskrip buku-buku cerita adalah:
1. Bakat mencipta cerita.
Bakat ini adalah bakat asas bagi menghasilkan karya sastera kanak-kanak, remaja, kartun, komik, drama dan novel. Dua komponen dalam bakat ini adalah (a) bakat mencipta watak dan perwatakan dan (b) bakat mencipta plot dan sub-plot.
Jika saudara pandai mencipta cerita, saudara tidak semestinya pandai menuliskan cerita yang saudara cipta.
Penerbit siri kartun dan komik sudah lama membezakan bakat mencipta cerita dengan bakat melukis kartun ataupun komik. Oleh sebab itu mereka membeli cerita daripada orang lain dan kemudian menyerahkan cerita itu kepada penulis skrip dan seterusnya diserahkan kepada pelukis. Demikian juga penerbit siri televisyen, di mana mereka membezakan bakat mencipta cerita dengan bakat menulis skrip.
2. Bakat menuliskan cerita.
Bakat ini menghasilkan ayat-ayat cerita yang dapat menggambarkan pelbagai unsur dalam cerita dengan jelas. Jika saudara pandai mengarang ayat, tidak semestinya saudara pandai mencipta cerita. Dalam menghasilkan siri kartun diperlukan bakat melukiskan wajah watak-watak dan aksi kartun-kartun itu. Pelukis kartun tidak semestinya mempunyai bakat mencipta cerita.
Penerbit-penerbit buku di Amerika, Eropah dan Jepun sudah meniru cara kerja penerbit siri televisyen sudah mula membezakan proses mencipta cerita dengan proses menuliskan cerita. Hasil daripada perubahan cara kerja ini menyebabkan pada masa ini, sudah menjadi amalan lumrah di negara-negara itu, royalti buku dikongsi antara pencipta watak, pencipta cerita, ilustrator dan penulis cerita.
Penerbit-penerbit Malaysia perlu meniru cara kerja di negara-negara yang lebih maju bagi menghasilkan buku-buku cerita yang lebih tinggi mutunya. Situasi di negara kita pada hari ini adalah, (a) Kita perlu mencipta watak-watak baru sebagai tambahan kepada watak-watak tradisional seperti sang kancil, Pak Pandir dan Si Luncai. (b) Kita memerlukan cerita-cerita yang plotnya dapat memenuhi citarasa pembaca kontemporari.
Pada masa ini kita masih mengamalkan cara kerja lama di mana seluruh isi kandungan buku-buku cerita di negara ini dicipta oleh satu orang. Dia mencipta watak, dia mencipta plot, dan dia juga yang menulis cerita. Amalan tradisional ini perlu ditamatkan dan digantikan dengan strategi dan prosedur kerja yang lebih efektif dan profesional.
0 Komen :
Post a Comment
<< Home