Wednesday, August 17, 2005

Apa itu Title Planning?

Membuat 'perancangan judul' atau title planning adalah tugas ketua jabatan editorial dalam syarikat penerbitan. Apa perlunya saudara sebagai pengarang tahu hal itu?


Semua penerbit membuat perancangan judul bagi tiap-tiap tahun. Sebagai contoh Alaf21 merancang 24 judul novel cinta remaja setahun, yakni 2 buah setiap bulan. Daripada maklumat ini saudara dapat merancang strategi kerja saudara sendiri sebagai pengarang.


Katakanlah saudara adalah salah seorang daripada begitu banyak penulis novel cinta remaja Alaf21. Pada kadar 2 buah novel sebulan, pada perkiraan saudara, berapa buah novel saudara akan dapat diterbitkan oleh Alaf21 setiap tahun? Satu, dua, tiga buah setahun?


Maklumat ini seharusnya mendorong saudara mempelbagaikan genre karya-karya saudara. Jangan hanya menulis novel cinta, kerana tidak mungkin Alaf21 menerbitkan semua novel saudara. Tulislah genre lain yang dapat saudara terbitkan dengan penerbit-penerbit lain. Dengan cara ini saudara dapat menerbitkan 3 ataupun 4 buah karya setahun.


Perancangan judul adalah alat kerja yang sangat penting bagi jabatan editorial. Ketua editor membuat rancangan belanjawan jabatannya berdasarkan judul-judul yang dirancang bagi kelulusan bahagian kewangan. Jika dia merancang hendak menerbitkan 30 ataupun 50 judul setahun, berapa banyak wang yang diperlukannya? Dia mesti memohon wang itu daripada bahagian kewangan.


Jabatan pemasaran akan membuat rancangan strategi promosi dan pemasaran bagi judul-judul yang dirancangkan oleh jabatan editorial. Belanjawan akan dikemukakan kepada bahagian kewangan bagi kelulusan.


Bagi mengetahui maklumat tentang perancangan judul sesebuah penerbit itu, berkawan baiklah dengan editor-editor dari berbagai penerbit. Mereka akan memberitahu saudara rancangan penerbitan tahun hadapan di tempat mereka bertugas. Dengan itu, mulai tahun ini saudara sudah dapat mula menulis buku-buku yang dirancang akan diterbitkan tahun hadapan.


Sebelum tiba bulan Januari tahun hadapan, saudara sudah dapat menghantarkan manuskrip buku saudara kepada penerbit.


Pat pat, paku lipat. Siapa cepat dia dapat!



3 Komen :

At 4:00 PM, Blogger Rizyani Berkata ...

Asm puan,
Berdasarkan kenyataan ini: "Maklumat ini seharusnya mendorong saudara mempelbagaikan genre karya-karya saudara. Jangan hanya menulis novel cinta, kerana tidak mungkin Alaf21 menerbitkan semua novel saudara. Tulislah genre lain yang dapat saudara terbitkan dengan penerbit-penerbit lain". Jadi di manakah terletaknya kesetiaan pengarang kpd penerbit?

 
At 9:20 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

Alaikumsalam Putrizyha,
Sdri perlu setia kepada penerbit bagi genre yang sama. Apabila sdri menulis buku genre yang tidak diterbitkan oleh Alaf21, sdri boleh memilih penerbit yang bergiat dalam sektor itu. Katakanlah saudara menulis buku kisah-kisah agama, carilah penerbit buku agama.

 
At 9:20 PM, Blogger Puan Ainon Mohd. Berkata ...

This comment has been removed by a blog administrator.

 

Post a Comment

<< Home