Thursday, August 18, 2005

Jangan Bergaduh dengan Gajah

'Gajah' adalah jargon yang digunakan oleh pemandu-pemandu lori transport bagi merujuk kepada lori-lori trailer yang besar-besar. Apabila di jalanraya, walaupun lori gajah itu menghimpit saudara, jangan buat apa-apa, mengalah sahaja. Itulah salah satu kebijaksanaan survival di jalan raya.

Dalam dunia penerbitan ini pun ada gajah.

Dewan Bahasa dan Pustaka adalah gajah besar. Kalau saudara mahu menjadi sasterawan besar, jangan sekali-kali bergaduh dengan DBP. Meski apa kritikan dan bantahan orang terhadap DBP, gajah itu mempunyai pelbagai kuasa dan alat kerja bagi mencipta dan mengangkat pengarang-pengarang biasa menjadi nama besar dalam dunia sastera tanah air.


Kalau saudara orang akademik, dan saudara mahu naik pangkat, saudara juga jangan bergaduh dengan DBP. Selain penerbit-penerbit universiti, hanya DBP mampu menerbitkan karya akademik saudara.


Selagi saudara perlukan logo daun palas itu pada kulit buku saudara, banyakkan bersabar apabila buku saudara lambat terbit, tersalah edit, dan lain-lain hal seperti itu. Terima kenyataan bahawa DBP tidak memerlukan saudara, saudara yang amat memerlukan DBP.


Jangan terlalu keras mengkritik DBP di khalayak. Jadi jika saudara memang mempunyai alasan wajar untuk bergaduh dengan DBP, bagaimana?


Saudara pergi berjumpa dengan pegawai peringkat tinggi DBP dan kemukakan perasaan tidak puas hati saudara dalam bilik pejabat beliau. Jangan jatuhkan maruah DBP teruk-teruk dalam seminar dan persidangan. Itu serupa dengan perbuatan bergaduh dengan drebar lori trailer, sedangkan saudara memandu Kancil.


Jadi siapakah yang layak menegur DBP dalam persidangan?


Biarkan tokoh-tokoh bekas orang DPB seperti Dato' Hassan Ahmad, Dato' Baha Zain dan Dato' Johan Jaaffar mengambil tugas berat itu.